KUALA LUMPUR: INCEIF University mengumumkan pelantikan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus sebagai Canselor INCEIF University dan Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar sebagai Pro-Canselor.

Tan Sri Nor Shamsiah menggantikan Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, yang telah menyandang jawatan Canselor INCEIF semenjak tahun 2009.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif INCEIF, Prof Datuk Dr Azmi Omar berkata, beliau menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada Zeti atas sumbangan dan jasa baktinya yang tidak ternilai dalam memacu INCEIF semenjak ia ditubuhkan.

"Bukan sahaja dari kepimpinan yang efektif malah bimbingan Tan Sri Dr Zeti berdasarkan pengalaman luas beliau dalam bidang kewangan serta sektor-sektor lain telah banyak menyumbang kepada kejayaan INCEIF dari pelbagai segi, terutamanya kepada industri kewangan antarabangsa serta lanskap pengawalseliaan industri tersebut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nor Shamsiah dilantik sebagai Gabenor BNM berkuat kuasa pada 1 Julai 2018. Sebagai Gabenor, beliau bertanggungjawab mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pengarah BNM serta Jawatankuasa Dasar Monetari dan Jawatankuasa Stabiliti Kewangan.

Beliau juga merupakan Ahli Majlis bagi Islamic Financial Services Board (IFSB) dan Ahli kepada Lembaga Pengelola, International Islamic Liquidity Management Corporation.

Mohd Daud pula adalah Pengerusi Majlis Penasihat Shariah bagi BNM dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Beliau juga merupakan ahli lembaga shariah bagi institusi dan organisasi kewangan antarabangsa seperti Amundi Asset Management (France), Bank of London dan Timur Tengah, Dow Jones Islamic Market Index (New York), Morgan Stanley (Dubai), dan Sedco Capital (Arab Saudi).

Seorang cendekiawan, penulis serta usahawan shariah yang dihormati, Mohd Daud telah dianugerahkan dengan Anugerah Di-Raja bagi Kewangan Islam 2022 oleh Yang di-Pertuan Agong atas jasa serta peranan penting beliau dalam membentuk dan membangunkan industri kewangan Islam global.

Beliau telah menulis lebih 40 buku dalam pelbagai genre yang bukan sahaja merungkai permasalahan malah melengkapkan interpretasi cendekiawan moden dalam kawal selia shariah serta aplikasi praktikal industri kewangan Islam.

Pelantikan kedua-dua tokoh ini bakal mengukuhkan lagi kedudukan INCEIF dalam usaha berterusan untuk membentuk serta membangunkan bakat-bakat baharu di dalam industri kewangan Islam dan menjadi pelopor kepada pelbagai cabang-cabang lain yang berkaitan.

Sebagai universiti tunggal di dunia yang memberi keutamaan kepada bidang kewangan Islam dan dengan akreditasi penuh dari AACSB International, NCEIF berada di landasan baik dalam usaha mencapai objektif penubuhannya dan ternyata ia kini amat dikenali di seluruh dunia sebagai universiti kewangan Islam yang berprestij. - DagangNews.com