KUALA LUMPUR: Dagangan saham-saham Serba Dinamik Holdings Bhd akan digantung berkuatkuasa 9 pagi pada 23 Dis 2022 sehingga ke tarikh yang akan dimaklumkan kelak selagi syarikat perkhidmatan kejuruteraan itu gagal mengemukakan Laporan Tahunan 2022 sebelum 22 Disember ini.

Perenggan 9.28(6) dalam Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama menetapkan bahawa prosedur penyahsenaraian boleh dimulakan ke atas mana-mana penerbit yang gagal mengeluarkan penyata kewangan dalam tempoh enam bulan daripada tempoh disyaratkan selain tindakan penguatkuasaan yang boleh diambil oleh pihak Bursa Malaysia Securities Bhd.

"Pada 1 November lepas, Bursa Malaysia Securities telah memberi tempoh lanjutan selama 1.5 bulan dari 31 Okt-15 Dis 2022 kepada Serba Dinamik untuk menerbitkan laporan tahunan yang turut mengandungi penyata kewangan tahunan beraudit selain laporan juruaudit serta pengarah bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2022.

"Bagaimanapun, Serba Dinamik telah gagal mengemukakan Laporan Tahunan 2022 kepada Bursa Malaysia Securities untuk penerbitan awam dalam tempoh masa yang ditetapkan," kata Serba Dinamik dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini.

Pada akhir dagangan hari ini, saham Serba Dinamik susut setengah sen kepada 1.5 sen.

-- BERNAMA