Skip to main content

Politik

PRN Melaka: PN akan guna logo sendiri - Takiyuddin

Takiyuddin berkata keputusan itu dicapai dalam mesyuarat gabungan berkenaan hari ini, sekali gus menandakan PN kembali bergerak sebagai satu gabungan politik.
Takiyuddin berkata keputusan itu dicapai dalam mesyuarat gabungan berkenaan hari ini, sekali gus menandakan PN kembali bergerak sebagai satu gabungan politik.

Advertisement

Ringkasan AI

  • Perikatan Nasional akan menggunakan logo gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri Melaka akan datang.
  • Jumlah kerusi dan calon PN untuk PRN Melaka belum dimuktamadkan dan akan diputuskan dalam beberapa mesyuarat akan datang.
  • PN kekal berfungsi selepas Mahkamah Tinggi menggantung pembatalan pendaftaran gabungan itu oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan.

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) akan menggunakan logo gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata keputusan itu dicapai dalam mesyuarat gabungan berkenaan hari ini, sekali gus menandakan PN kembali bergerak sebagai satu gabungan politik.

“Macam saya cakap, Perikatan Nasional sudah kembali. Jadi kita akan menggunakan logo Perikatan Nasional dalam Pilihan Raya Negeri Melaka,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi (MT) PN, pada Ahad.

Beliau berkata jumlah kerusi yang akan ditandingi serta calon yang bakal mewakili PN masih belum dimuktamadkan dan akan ditentukan menerusi beberapa siri mesyuarat akan datang.

Tambahnya, perbincangan itu akan memberi tumpuan kepada penetapan kerusi yang akan ditandingi serta pemilihan calon bagi mewakili gabungan berkenaan.

Terdahulu, Takiyuddin memaklumkan PN disahkan kekal berfungsi seperti biasa susulan perintah Mahkamah Tinggi yang menggantung pembatalan pendaftaran gabungan itu oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

Takiyuddin menegaskan keputusan mahkamah ini kekal sah dan membolehkan urusan parti diteruskan termasuk mesyuarat tergempar pimpinan, walaupun pihak RoS dan Menteri Dalam Negeri telah memfailkan rayuan.
 

Must Watch Video

Advertisement