KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) perlu terus menerajui kerajaan negeri bagi memastikan kesinambungan pembangunan sosioekonomi dan masa depan rakyat terus terpelihara di landasan yang tepat, kata Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Justeru, beliau menyeru rakyat Sarawak agar memberikan sokongan kepada GPS pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-13 memandangkan pentadbiran sedia ada terbukti mempunyai hala tuju jelas dalam memacu kemajuan yang inklusif merangkumi kawasan bandar dan luar bandar.
"Sebab itu, kita tidak ada pilihan... pilihan kita ialah kerajaan yang ada dipimpin oleh Premier Sarawak (Tan Sri Abang Johari Tun Openg), Kerajaan GPS… yang mempunyai hala tuju jelas untuk melakukan transformasi dan melonjakkan kesejahteraan rakyat.
“Kita mempunyai dasar yang inklusif, kita bangunkan Sarawak dengan kita bekerjasama antara satu dengan yang lain, daripada semua kaum dalam Sarawak yang dapat membangunkan negeri ini," katanya ketika berucap pada majlis perasmian Anjung Usahawan dan Taman Perindustrian Sematan di Lundu pada Ahad.
Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Sari itu turut memberi jaminan bahawa GPS akan terus komited memperkukuh agenda pembangunan negeri demi kebajikan rakyat dan generasi akan datang.
Menyentuh mengenai tarikh pengundian bagi PRN kali ini, Awang Tengah berkata, perkara itu diletakkan sepenuhnya di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Pilihan Raya.
“...tapi yang pasti, kita harus bekerjasama, kerja kuat, jangan take it for granted... ia berlandaskan kepada kekuatan kita dan kedudukan masa depan kita.
“Kita mahu mewariskan Sarawak yang lebih makmur dan bersatu padu antara satu sama lain kepada generasi anak cucu kita,” katanya.
Pada Jumaat lepas, Abang Johari mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri Sarawak berkuat kuasa esok bagi memberi laluan kepada PRN ke-13.
-- BERNAMA