KUALA LUMPUR: LBS Bina Group Bhd. (LBS) terus komited dalam menawarkan pengalaman terbaik kepada pembeli dengan menyediakan galeri jualan yang turut mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records sebagai ‘Unit Rumah Contoh Terbanyak di dalam Galeri Jualan di Malaysia’.

Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Sri Lim Hock San berkata, matlamat LBS tidak hanya memberi tumpuan kepada produk yang dibina tetapi merangkumi perkhidmatan sebelum dan selepas membeli rumah.

Jelas Hock San, justeru itu, idea untuk menempatkan pelbagai jenis rumah contoh di bawah satu bumbung telah tercetus dan direalisasikan.

“Inisiatif ini juga membolehkan bakal pembeli rumah melihat pelbagai projek ditawarkan LBS pada bila-bila masa. Oleh demikian, kami akan meneruskan konsep seperti ini pada masa hadapan yang mampu meningkatkan kecekapan dan kemampanan.

“LBS berharap untuk terus membina ruang dimana komuniti dapat melihat nilai yang kami usahakan bagi berinovasi, berkembang dan berbangga dengan memanggil ruang ini sebagai rumah kediaman idaman,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika majlis penganugerahan sijil Malaysia Book of Records di galeri jualan KITA @ Cybersouth di sini pada Jumaat.

Komitmen LBS | Kekal tawarkan kediaman mampu milik kepada rakyat

Turut hadir Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Galeri jualan terletak di KITA @ Cybersouth mempunyai keluasan binaan keseluruhan 10,602 meter persegi dan 5,570 meter persegi bagi LBS Alam Perdana tersebut dibangunkan dengan kos masing-masing sebanyak RM14.8 juta serta RM16.4 juta.

Galeri jualan KITA @ Cybersouth mempamerkan rumah teres dua tingkat KITA Mekar, Rumah Bandar, teres setingkat, Pangsapuri KITA Ria (jenis A dan B), Idaman BSP serta KITA Sejati.

Manakala galeri jualan LBS Alam Perdana menempatkan lima buah rumah contoh iaitu Rumah Bandar Ritma Perdana, teres dua tingkat Melodi Perdana dan Idaman Perdana.

Dalam pada itu menurut Hock San, sebagai ‘pemaju hartanah rakyat’ LBS menyatakan komitmen syarikat untuk kekal menawarkan kediaman pada harga mampu milik kepada rakyat Malaysia.

“Kami cuba sedaya upaya untuk menawarkan pada harga mampu milik, manakala harga rumah Idaman akan dikekalkan. Setakat ini kami juga belum lagi merancang untuk melabur dalam sektor hartanah mewah di luar negara.

“LBS turut optimis untuk mencapai sasaran jualan syarikat sebanyak RM1.6 bilion, yang mana setakat ini kita merekodkan sebanyak RM637 juta dengan jumlah jualan tempahan sebanyak RM680 juta,” ujarnya.