KUALA LUMPUR: Gamuda Bhd meraih kontrak bernilai RM3.30 bilion bagi projek kejuruteraan awam dan kemudahan elektromekanikal Transit Aliran Massa (MRT) bagi Laluan Xiaogang-Linyuan Metropolitan Kaohsiung, sekali gus menandakan perolehan projek infrastruktur ke-10 syarikat itu di Taiwan setakat ini.
Dalam satu kenyataan hari ini, kumpulan kejuruteraan dan pembinaan itu berkata projek berkenaan diterima daripada Biro Transit Aliran Massa Bandaraya Kaohsiung, Taiwan.
“Kontrak terbaharu itu terus mengukuhkan kedudukan Gamuda dalam sektor infrastruktur rel Taiwan susulan pelaksanaan semasa Pakej YC01 Laluan Kuning MRT Kaohsiung serta kejayaan terdahulu menerusi Pakej C04 Laluan Oren MRT bandar raya itu.
“Projek berkenaan merupakan usaha sama (JV) tidak diperbadankan antara Gamuda yang memegang 70 peratus kepentingan dan syarikat berpangkalan di Taiwan, Shang Ting, yang memiliki baki 30 peratus,” katanya sambil menambah bahagian nilai kontrak Gamuda berjumlah RM2.31 bilion.
Shang Ting, sebuah syarikat pembinaan Taiwan yang berpengalaman dalam projek infrastruktur awam termasuk Pusat Kontena Ketujuh Pelabuhan Kaohsiung serta beberapa bangunan sivik kerajaan di Kaohsiung dan Pingtung.
Gamuda berkata projek selama tujuh tahun empat bulan itu merangkumi pembinaan tiga stesen bawah tanah, satu stesen bertingkat, landasan kereta api berkembar bawah tanah sepanjang 3.88 kilometer serta enam laluan silang.
“Projek terbaharu ini diraih kurang setahun selepas syarikat memperoleh projek kesembilan di Taiwan iaitu projek dermaga dan jalan penghubung Terminal Gas Asli Cecair (LNG) Antara Benua Pelabuhan Kaohsiung, sekali gus mencerminkan kehadiran syarikat yang semakin kukuh dalam pasaran infrastruktur Taiwan.
“Sejak memasuki Taiwan pada 2002, kumpulan itu telah memperluas portfolionya merangkumi sistem rel, infrastruktur marin dan projek talian penghantaran bawah tanah,” katanya.
Antara projek utama Gamuda di Taiwan termasuk MRT Xizhi Donghu, Kereta Api Bawah Tanah Bandar Taoyuan, Jambatan Marin Guantang, Seawall-Taipei Port serta Talian Penghantaran Bawah Tanah 345kV Gangfeng-Zhongke dan Zhongke-Hengshan (Seksyen Ketiga).
-- BERNAMA