Ringkasan AI
- Beberapa penyandang kerusi DUN Sarawak, termasuk Timbalan Speaker Datuk Idris Buang, tidak akan mempertahankan kerusi pada PRN Sarawak ke-13.
- Antara faktor pengguguran ialah masalah kesihatan serta keperluan memperkenalkan wajah baharu dalam kepimpinan kawasan dan parti.
- GPS akan mengumumkan senarai calon rasmi pada Sabtu, manakala penamaan calon dijadualkan berlangsung Sabtu depan.
KUCHING: Timbalan Speaker DUN Sarawak, Datuk Idris Buang (PBB) di DUN Muara Tuang merupakan antara nama yang tidak akan mempertahankan kerusinya dalam Pilihan Raya Umum (PRN) Sarawak ke-13 pada 12 Disember depan.
Beliau mengesahkan keputusan itu dalam satu kenyataan media pada Selasa.
Selain beliau, dua timbalan menteri iaitu Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak Sarawak, Datuk Rosey Yunus (PBB) di DUN Bekenu dan Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Francis Harden Hollis (SUPP) di DUN Simanggang turut digugurkan.
ADUN lain ialah penyandang DUN Kabong, Mohd Chee Kadir; penyandang DUN Beting Maro, Razaili Gapor dan penyandang DUN Simunjan, Awla Dris.
Antara faktor yang menyumbang pengguguran mereka adalah masalah kesihatan dan perlunya wajah baharu dalam kepimpinan kawasan dan parti.
Sementara itu, penyandang dua penggal di DUN Pelagus, Wilson Nyabong Ijang dan ADUN sepenggal di DUN Ngemah, Anyi Jana merupakan dua bekas ADUN daripada Parti Rakyat Sarawak (PRS) yang tidak dicalonkan.
Sumber dalaman parti berkata, kedua-dua mereka akan digantikan dengan muka baharu – Cerislogo Sabut di DUN Pelagus yang sebelum ini merupakan Pegawai Daerah Kanowit dan Alexander Donald di DUN Ngemah, yang merupakan Ahli Majlis Tertinggi PRS.
Difahamkan, kedua-duanya digugurkan kerana tidak memiliki persefahaman dengan pimpinan parti tersebut yang kini diketuai Datuk Seri John Sikie Tayai.
Sementara itu, penyandang bagi kerusi DUN Baleh, Nicholas Kudi Jantai dikatakan mendapat lampu hijau untuk mempertahankan kerusinya.
Kudi merupakan anak saudara kepada bekas pengasas PRS dan Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Dr James Jemut Masing turut diuar-uarkan digugurkan.
GPS akan membuat pengumuman rasmi calon-calonnya pada jam 12.00 tengah hari, Sabtu ini di ibu pejabat PBB.
Pilihan raya Sarawak akan diadakan pada 12 Disember 2026, dengan proses penamaan calon akan berlangsung Sabtu depan.
Pada PRN Sarawak 2021, GPS menang 76 daripada 82 kerusi, sebelum tiga wakil rakyat daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB) menyertai Parti Tindakan Demokratik (PDP) manakala seorang lagi menjadi calon Bebas mesra GPS.