Ringkasan AI
- Polis menahan dua lelaki disyaki ahli kumpulan pecah rumah aktif di empat negeri selepas kejadian di Taman Rainbow, Jalan Ipoh pada 16 November.
- Rampasan melibatkan kereta Toyota Camry bernombor pendaftaran palsu, barangan curi, wang tunai RM1,000 serta pelbagai peralatan dipercayai digunakan untuk jenayah.
- Tangkapan ini membantu menyelesaikan 15 kes pecah rumah dengan kerugian RM293,500 di Selangor, Perak, Pahang dan Kuala Lumpur.
KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan satu kumpulan jenayah pecah rumah yang dipercayai aktif melakukan kegiatan itu di empat negeri susulan penahanan dua lelaki pada 16 Nov lepas.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk M. Kumar berkata kedua-dua suspek berusia 40 dan 44 tahun itu diberkas kira-kira 1 tengah hari di Taman City, di sini susulan satu kejadian pecah rumah di Taman Rainbow, Jalan Ipoh kira-kira sejam sebelum itu.
“Hasil siasatan awal mendapati kedua-dua suspek dipercayai terlibat dalam kejadian berkenaan dan tangkapan dibuat kurang daripada satu jam selepas kejadian (pecah rumah) dilaporkan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Kumar berkata polis turut merampas sebuah kereta Toyota Camry berwarna hitam yang menggunakan nombor pendaftaran palsu, selain pelbagai barangan dipercayai hasil curi iaitu telefon bimbit, tablet komputer, jam tangan, komputer riba, set kamera litar tertutup (CCTV), beg dan wang tunai RM1,000.
Turut dirampas kad Touch ‘n Go (empat), resit pembelian emas (satu), nombor pendaftaran kenderaan (tiga), kasut, pakaian, sarung tangan, pelitup muka serta pelbagai peralatan lain yang dipercayai digunakan untuk melakukan jenayah.
Beliau berkata semakan mendapati suspek pertama memiliki 62 rekod jenayah, termasuk 41 kes pecah rumah serta lima kes dadah, manakala suspek kedua mempunyai dua rekod jenayah dan tiga kes dadah.
“Hasil saringan air kencing mendapati suspek pertama positif dadah jenis amphetamine atau methamphetamine. Polis sedang giat mengesan seorang lagi ahli kumpulan itu yang masih bebas,” katanya.
Beliau berkata tangkapan itu membolehkan polis menyelesaikan 15 kes jenayah pecah rumah dengan anggaran kerugian RM293,500, membabitkan tujuh kes di Selangor, Perak (lima), Pahang (dua) dan Kuala Lumpur (satu).
Mengulas lanjut, Kumar berkata kumpulan jenayah itu dipercayai menggunakan kenderaan dengan nombor pendaftaran palsu dan menyasarkan rumah teres yang tiada pengawal keselamatan.
“Mereka dipercayai melakukan jenayah pada waktu siang ketika penghuni tiada di rumah. Mereka mengumpil pagar dan masuk ke rumah melalui pintu hadapan. Bagi rumah yang mempunyai pagar automatik, suspek dipercayai membuka pagar itu menggunakan alat kawalan jauh yang diubah suai,” katanya.
Beliau berkata kedua-dua suspek direman tujuh hari hingga Jumaat ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
Kumar menasihatkan orang ramai supaya memastikan rumah sentiasa dikunci dengan kunci tambahan, memasang CCTV serta menyimpan barang berharga di tempat selamat selain melaporkan kepada polis sekiranya ternampak individu mencurigakan.
-- BERNAMA