KUALA LUMPUR: George Kent (Malaysia) Bhd mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM31.26 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac, 2022 (Tahun Kewangan 2022) atas sokongan hasil RM355.22 juta.

Pada tahun kewangan sebelumnya, kumpulan itu telah menukarkan akhir tahun kewangannya daripada 31 Jan kepada 31 Mac.

Berikutan perubahan itu, prestasi suku yang berakhir pada 31 Mac, 2022, yang menjadi suku keempat Tahun Kewangan 2022, tidak dapat dibandingkan dengan suku keempat tahun kewangan sebelumnya, kata syarikat tersebut dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada Selasa.

George Kent berkata hasil kumpulan bagi bahagian pemeteran terus mencatatkan keputusan kukuh sebanyak RM55.4 juta bagi suku tersebut dengan hasil kumulatif RM152.7 juta.

Ia berkata nilai perolehan kontrak kumpulan itu bagi meter airnya juga kekal kukuh dengan tempahan bernilai RM78 juta.

Bahagian kejuruteraan kumpulan mencatatkan hasil sebanyak RM64.2 juta dengan keuntungan segmen bagi suku tersebut berjumlah RM16.8 juta.

Sementara itu bagi memberi ganjaran kepada pemegang sahamnya, lembaga pengarah mengisytiharkan dividen interim kedua 1.5 sen sesaham bagi Tahun Kewangan 2022.

Dividen akan dibayar pada 7 Julai, 2022, kepada pemegang saham yang namanya tertera dalam rekod pendeposit syarikat setakat 16 Jun, 2022.

Pada masa hadapan kumpulan itu berkata ia akan terus mencari lebih banyak tender projek pada 2022, di dalam dan luar negara selain meneroka peluang perniagaan lain termasuk pengambilalihan perniagaan yang melengkapkan kumpulan.

Mengulas mengenai prestasi dan prospek kumpulan, pengerusinya Tan Sri Tan Kay Hock berkata Tahun Kewangan 2022 mencatatkan keputusan memberangsangkan meskipun persekitaran mencabar yang disebabkan oleh pandemik COVID-19, tekanan inflasi daripada harga input yang tinggi dan ketidaktentuan akibat daripada konflik Rusia-Ukraine.

Beliau berkata kedua-dua bahagian pemeteran dan kejuruteraan mencatatkan prestasi baik untuk mencapai keputusan akhir tahun yang kukuh.

Tan juga berkata kumpulan itu menjangka bahagian pemeteran akan kekal kukuh dan meneruskan momentum pertumbuhannya yang padu.

-- BERNAMA