Skip to main content

Bisnes

Great Eastern Takaful perkenal i-Great Mega Plus, tawar perlindungan asas minimum RM300,000

GETB TB
Barisan pengurusan Great Eastern Takaful bersama ahli panel forum literasi kewangan dan rakan kerjasama pada pelancaran i-Great Mega Plus di Habib Landmark, Kuala Lumpur. - Gambar Great Eastern Takaful
Advertisement

KUALA LUMPUR: Great Eastern Takaful Berhad (GETB) melancarkan i-Great Mega Plus, pelan takaful keluarga berkaitan pelaburan yang menggabungkan perlindungan, unsur simpanan dan perancangan pewarisan bagi memenuhi keperluan kewangan jangka panjang.

Berteraskan konsep “Where Protection Meets Legacy”, pelan caruman berkala itu menawarkan jumlah perlindungan asas minimum RM300,000, manakala jumlah maksimum tertakluk kepada proses pengunderaitan.

Ketua Pemasaran Great Eastern Takaful, Rashida Mior Ahmad Darwish berkata, keperluan perlindungan seseorang berubah mengikut pendapatan, tanggungan dan matlamat kewangan pada setiap peringkat kehidupan.

“Fleksibiliti ialah antara kekuatan utama pelan ini kerana pelanggan boleh memilih caruman dan jumlah perlindungan berdasarkan kemampuan serta matlamat masing-masing.

“Apabila keadaan kewangan berubah, mereka boleh menilai semula keperluan perancangan dari semasa ke semasa,” katanya pada sidang media selepas pelancaran berkenaan.

Menurut Rashida, peristiwa penting seperti pertambahan tanggungan, pendidikan anak dan persaraan perlu diambil kira lebih awal, bukan hanya apabila keperluan kewangan semakin mendesak.

“Perancangan pewarisan bukan sesuatu yang hanya perlu difikirkan apabila usia sudah lanjut, anak memasuki universiti atau ketika menghampiri persaraan.

“Perkara paling penting ialah memulakannya seawal mungkin, kemudian menyesuaikan perancangan itu mengikut matlamat serta kemampuan,” katanya.

Selain manfaat kematian dan hilang upaya penuh dan kekal (HUPK), i-Great Mega Plus menyediakan manfaat kesetiaan serta manfaat rangsangan matang.

Manfaat kesetiaan bersamaan lima peratus daripada caruman tahunan boleh dikreditkan ke dalam Akaun Unit Peserta (PUA) setiap lima tahun sepanjang tempoh pembayaran caruman, manakala manfaat rangsangan matang bersamaan satu peratus daripada jumlah perlindungan asas turut disediakan, tertakluk kepada syarat ditetapkan.

Manfaat tambahan bagi kematian akibat kemalangan pula boleh mencecah 300 peratus daripada jumlah perlindungan asas bagi kemalangan di luar Malaysia, manakala kadar manfaat bagi kejadian lain bergantung pada lokasi dan keadaan kemalangan serta terma sijil.

Pelanggan juga berpeluang membina nilai jangka panjang menerusi dana berkaitan pelaburan yang diuruskan secara profesional.

Bagaimanapun, nilai PUA tidak dijamin dan bergantung pada prestasi sebenar dana, manakala penyertaan dalam pelan berkenaan merupakan komitmen kewangan jangka panjang.
 

Image
GETB INSERT
Jasveen Marne (kiri), bersama Rashida Mior Ahmad Darwish pada sidang media selepas pelancaran i-Great Mega Plus. - Gambar Great Eastern Takaful

Sementara itu, Wakil Lantikan Great Eastern Takaful, Jasveen Marne berkata, perubahan struktur keluarga dan aspirasi kewangan menuntut perancangan yang turut mengambil kira pewarisan kewangan kepada generasi seterusnya.

“Perancangan kewangan harus melangkaui perlindungan bagi memenuhi keperluan hari ini. Ia seharusnya memperkasakan individu dan keluarga untuk membina, memelihara serta meninggalkan warisan yang bermakna,” katanya.

Dalam aspek pewarisan, peserta boleh mewakafkan sebahagian manfaat kematian yang dipersetujui kepada institusi wakaf yang dilantik, menamakan penerima manfaat menerusi hibah bersyarat atau memilih kedua-duanya sekali.

Pilihan itu membolehkan manfaat disalurkan kepada insan tersayang dan sebahagiannya disumbangkan kepada tujuan kebajikan selepas kematian peserta.

Pelancaran di Habib Landmark, Kuala Lumpur itu diadakan dengan kerjasama Habib Jewels menerusi kempen pelanggan bertemakan “Craft Your Mega Legacy”.

Bersempena dengan pelancaran itu, GETB turut memperkenalkan Kempen Emas Vaganza yang berlangsung sehingga 30 September 2026.

Pelanggan yang menyertai mana-mana daripada enam pelan terpilih sepanjang tempoh kempen berpeluang menerima jongkong emas HABIB sehingga 10 gram.

Majlis itu turut menampilkan forum literasi kewangan yang dikendalikan oleh mentor kewangan dan pelabur hartanah, Norriza Yusof atau Mak Jerung, dengan perunding kewangan peribadi Financial Faiz serta tokoh kewangan Islam dan wakaf, Rohani Datuk Mohd Shahir, sebagai ahli panel.


Orang ramai disaran meneliti ilustrasi manfaat, risalah pemberitahuan produk, risalah penyataan dana serta terma dan syarat sebelum menyertai pelan berkenaan, dengan maklumat lanjut tersedia di laman rasmi i-Great Mega Plus.

Image
GETB INSERT
Dari kiri, Norriza Yusof atau Mak Jerung, Financial Faiz dan Rohani Datuk Mohd Shahir pada forum literasi kewangan sempena pelancaran i-Great Mega Plus. - Gambar Great Eastern Takaful

Must Watch Video

Advertisement