Skip to main content

Sukan

Carolan puji keupayaan Malaysia kawal permainan dalam kemenangan 6-0 ke atas Kanada

Carolan berkata Kanada beraksi dengan baik sepanjang dua suku pertama, namun mengakui gerakan serangan Malaysia serta kesungguhan pasukan itu untuk memburu jaringan gol. - Foto BERNAMA
Carolan berkata Kanada beraksi dengan baik sepanjang dua suku pertama, namun mengakui gerakan serangan Malaysia serta kesungguhan pasukan itu untuk memburu jaringan gol. - Foto BERNAMA

Ringkasan AI

  • Malaysia mencatat kemenangan 6-0 ke atas Kanada dalam perlawanan kedua Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah 2026 di Ipoh.
  • Ketua jurulatih Brendon Carolan memuji kawalan permainan Malaysia, namun mengakui terdapat beberapa kesilapan sepanjang perlawanan.
  • Faizal Saari menjaringkan empat gol, manakala kemenangan ini merupakan kemenangan kedua berturut-turut Malaysia tanpa bolos dalam kejohanan tersebut.
Advertisement

IPOH: Ketua jurulatih Brendon Carolan memuji barisan pemain Malaysia yang berjaya mengawal permainan selepas skuad Speedy Tigers mencatatkan kemenangan 6-0 ke atas Kanada pada perlawanan kedua Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah 2026 di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah di sini malam tadi.

Carolan bagaimanapun mengakui Malaysia melakukan beberapa kesilapan sepanjang perlawanan itu meskipun lebih banyak menguasai permainan.

“Pada pendapat saya, kami memulakan permainan dengan baik dan mengawalnya, namun terdapat beberapa ketika kami hilang kawalan.

Advertisement

“Kami memperoleh lebih banyak pukulan sudut penalti hari ini dan menunjukkan perkembangan positif walaupun hanya berjaya menjaringkan gol menerusi dua percubaan itu,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Faizal Saari menjadi pemain paling cemerlang pada perlawanan itu dengan meledak empat gol manakala Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal dan Muhammad Amirul Hamizan Azahar masing-masing menyumbang satu gol untuk melengkapkan kemenangan besar Malaysia.

Advertisement

Sementara itu, ketua jurulatih Kanada Facundo Quiroga berkata barisan pemain memulakan perlawanan dengan meyakinkan, namun membiarkan emosi mempengaruhi prestasi mereka apabila perlawanan berlangsung.

Beliau berkata Kanada beraksi dengan baik sepanjang dua suku pertama, namun mengakui gerakan serangan Malaysia serta kesungguhan pasukan itu untuk memburu jaringan gol.

“Kami memulakan permainan dengan baik tetapi pada pendapat saya, pemain kami terlalu terbawa-bawa dengan emosi sehingga menjejaskan permainan. Mereka beraksi dengan agak baik dalam dua suku pertama.

“Pujian harus diberikan kepada pasukan Malaysia kerana mereka sentiasa bergerak untuk mencari peluang menjaringkan gol. Perlawanan itu berlangsung dengan baik, namun saya kecewa kerana membiarkan Malaysia menjaringkan enam gol,” katanya.

Kemenangan itu adalah yang kedua berturut-turut Malaysia dalam kejohanan berkenaan, selepas turut mencatatkan kemenangan tanpa bolos dalam perlawanan pembukaan menentang Korea Selatan.

-- BERNAMA 

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement