Skip to main content

Dunia

COP31 buntu, pertikaian bahan api fosil dan dana iklim halang perjanjian global

Jika tiada persetujuan dicapai melalui konsensus, sidang itu berisiko ditangguhkan tanpa sebarang perjanjian sebelum disambung semula tahun depan. - Foto AP
Jika tiada persetujuan dicapai melalui konsensus, sidang itu berisiko ditangguhkan tanpa sebarang perjanjian sebelum disambung semula tahun depan. - Foto AP

Ringkasan AI

  • Rundingan COP31 gagal capai kata sepakat selepas lebih 36 jam, terutamanya mengenai komitmen pengurangan bahan api fosil dalam teks perjanjian akhir.
  • Negara pengeluar bahan api fosil mahu rujukan peralihan digugurkan, manakala EU dan negara kepulauan Pasifik menuntut komitmen jelas dalam dokumen akhir.
  • Kumpulan Afrika menuntut komitmen kewangan lebih besar daripada negara maju untuk penyesuaian iklim, menyebabkan rundingan terus tersekat tanpa persetujuan.
Advertisement

ANTALYA: Rundingan iklim global COP31 terus menemui jalan buntu selepas berlanjutan lebih 36 jam melepasi jadual asal apabila negara peserta gagal mencapai kata sepakat mengenai teks perjanjian akhir.

Menurut laporan BBC, pertikaian utama membabitkan isu bahan api fosil apabila Kesatuan Eropah (EU) dan beberapa negara kepulauan Pasifik menolak draf terkini yang tidak memasukkan komitmen untuk mengurangkan kebergantungan dunia terhadap minyak, gas dan arang batu.

Kumpulan negara pengeluar bahan api fosil yang diketuai Arab Saudi dilaporkan mahu rujukan mengenai peralihan daripada bahan api fosil digugurkan, manakala Panama, Kepulauan Solomon, Cote d'Ivoire dan EU berusaha mengekalkan komitmen itu dalam dokumen akhir.

Advertisement

Menteri Alam Sekitar Panama, Juan Carlos Navarro, berkata persidangan iklim tidak sepatutnya menghasilkan keputusan yang gagal menyentuh peranan bahan api fosil dalam krisis iklim.

"Adalah tidak boleh diterima jika keputusan COP langsung tidak menyebut bahan api fosil," katanya.

Advertisement

Selain itu, rundingan turut tersekat berhubung tuntutan Kumpulan Afrika yang mahukan komitmen lebih besar daripada negara maju untuk membiayai usaha penyesuaian iklim di negara membangun.

Pengerusi rundingan Kumpulan Afrika, Zanetor Agyeman Rawlings dari Ghana, berkata negara membangun tidak seharusnya dipaksa merayu bantuan sedangkan mereka menanggung kesan paling buruk akibat perubahan iklim.

Jika tiada persetujuan dicapai melalui konsensus, sidang itu berisiko ditangguhkan tanpa sebarang perjanjian sebelum disambung semula tahun depan, sesuatu yang hanya pernah berlaku sekali sejak persidangan COP diperkenalkan pada 1995.

Pesuruhjaya Iklim EU, Wopke Hoekstra, memberi amaran blok itu tidak akan menyokong perjanjian yang tidak mengandungi tindakan iklim yang mencukupi, manakala Ketua Perunding Britain, Miatta Fahnbulleh, masih optimis bahawa ruang untuk mencapai persefahaman masih terbuka.

Dalam perkembangan berkaitan, draf dikenali sebagai Antalya Accords berpotensi mengiktiraf buat kali pertama bahawa sasaran mengehadkan peningkatan suhu global kepada 1.5 darjah Celsius tidak lagi dapat dicapai.

Pemerhati dan kumpulan alam sekitar turut mengkritik perjalanan rundingan itu, dengan beberapa pihak menyifatkannya sebagai antara persidangan COP yang paling mengecewakan setakat ini, lapor BBC.

 

Must Watch Video

Advertisement