Syarikat dan peniaga yang memanipulasi harga barangan selepas pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) mulai 1 April ini bakal berdepan tindakan mahkamah.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hasan Malek berkata lima mahkamah khas GST telah diwujudkan khusus untuk mengendalikan kes-kes pengguna terhadap peniaga di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

"GST bukan untuk menyusahkan rakyat tetapi untuk menyelaraskan semula sistem percukaian sedia ada supaya dapat melonjak ekonomi negara, mahkamah ini merupakan bukti usaha bagi mengawal dan mengesan peniaga yang tidak bertanggungjawab dan bagi mengelakkan pengguna menjadi mangsa," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Maktab Koperasi Malaysia (MKM) 2014 dan Memorandum Persefahaman MKM-Bank Rakyat dan MKM-Perbadanan Nasional Berhad (PNS) di sini, pada Khamis.

Hasan berkata pengguna perlu sedar bahawa kerajaan sentiasa menjaga kepentingan dan melindungi hak mereka, pada masa sama pengguna perlulah turut sama memantau harga barang dan menjadi pengguna bijak agar tidak mudah ditipu.

"Rakyat tak perlu risau... banyak barang yang terkecuali daripada GST, barang keperluan harian kebanyakannya tiada cukai, terutamanya makanan seperti tepung, gula, malah sistem pendidikan pun begitu juga.

"Pengguna hanya perlu merujuk kepada senarai harga barang yang dikenakan GST dan yang mana yang terkecuali. Buku panduan harga untuk memudahkan rakyat ada diterbitkan dan ia boleh didapati di pejabat KPDNKK negeri," kata Hasan.

Katanya jika terdapat peniaga yang mengenakan GST pada barangan yang dikecualikan cukai itu, mereka perlu melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa supaya tindakan dapat diambil terhadap peniaga terbabit.