KUALA LUMPUR: Hak keistimewaan Bumiputera tidak akan terjejas sekiranya kerajaan meratifikasikan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), tegas Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, dasar dan hak keistimewaan Bumiputera merupakan salah satu tunjang Perlembagaan Persekutuan dan kerajaan tidak akan berkompromi dalam mempertahankan dasar tersebut di dalam mana-mana perjanjian antarabangsa.

Terdapat pelbagai pengecualian dan fleksibiliti berkaitan hak-hak Bumiputera di bawah Perjanjian CPTPP, antaranya bagi perolehan kerajaan, pemberian subsidi dan pengeluaran lesen atau permit khas.

“Sebagaimana termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan, hak-hak keistimewaan Bumiputera akan terus terpelihara walaupun kerajaan meratifikasi Perjanjian CPTPP.

“Peruntukan melindungi hak-hak keistimewaan ini terkandung dalam Annex II Non-Conforming Measures di bawah Perjanjian CPTPP,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 peringkat dasar di Dewan Rakyat hari ini.

Mohamed Azmin berkata bagi perolehan kerajaan, perjanjian CPTPP telah memberikan kelonggaran dan fleksibiliti yang membolehkan kerajaan terus membantu membangunkan syarikat-syarikat tempatan dan Bumiputera.

Katanya, antara kelonggaran yang diberikan adalah kerajaan dibenarkan untuk memperuntukkan sehingga 30 peratus daripada nilai kontrak perolehan kepada kontraktor Bumiputera.

Di samping itu, nilai ambang (threshold) yang ditetapkan bagi perolehan kerajaan untuk sektor pembinaan adalah tinggi berbanding negara-negara anggota lain, yang mana kontraktor-kontraktor Gred G1 sehingga Gred G6 tidak tertakluk kepada komitmen di bawah Bab Perolehan kerajaan.

“Fleksibiliti-fleksibiliti seperti ini akan memastikan syarikat-syarikat tempatan tetap dilindungi dan boleh terus terlibat di dalam perolehan kerajaan walaupun perjanjian CPTPP dikuatkuasakan oleh Malaysia,” katanya.

Beliau berkata syarikat milik kerajaan masih boleh terus melaksanakan agenda pembangunan sosio-ekonomi mereka walaupun CPTPP telah berkuat kuasa.

“Keutamaan bagi pembelian barangan dan perkhidmatan boleh terus diberikan kepada pembekal-pembekal Bumiputera termasuk perusahan kecil dan sederhana (PKS) dan juga entiti dari Sabah dan Sarawak sehingga meliputi 40 peratus daripada bajet tahunan syarikat milik kerajaan.

“Bagi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) dan Ekuiti Nasional Berhad (EKUINAS) pula, kesemua entiti ini boleh membuat pembelian barangan dan perkhidmatan daripada pembekal-pembekal Bumiputera sehingga 100 peratus,” tambahnya.

-- BERNAMA