KUALA LUMPUR: Juwai IQI menjangkakan lebih ramai rakyat Singapura akan melabur dalam sektor hartanah di Malaysia tahun ini terutama dengan pembukaan sempadan antarabangsa mulai 1 April lalu.

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kashif Ansari berkata, pelaburan hartanah rentas sempadan dijangka meningkat sekurang-kurangnya 40% bagi tahun ini dan kemungkinan mencapai paras sebelum pandemik pada 2023.

Katanya, ia akan dipacu oleh dolar Singapura yang kukuh berbanding ringgit dan persepsi bahawa pasaran Malaysia menghampiri kitaran paling rendah yang akan menyaksikan kedua-dua harga dan aktiviti akan meningkat beberapa tahun akan datang.

"Pada masa sama, harga hartanah yang tinggi di Singapura turut mendorong pembeli mencari alternatif di Malaysia.

"Ini kerana pandemik telah mendorong kepada permintaan dan mengurangkan penawaran di Singapura, dengan harga hartanah kediaman persendirian merekodkan paras tertinggi baharu.

"Tahun lalu, ia menyaksikan peningkatan sehingga 10.6% bagi harga rumah, yang mana sebelum ini Singapura tidak pernah berdepan pertumbuhan harga yang pantas sejak 2010," jelasnya dalam kenyataan hari ini.

Dolar Singapura menghampiri paras 5 tahun tertinggi berbanding ringgit, diniagakan pada RM3.10 berbanding S$1, lebih tinggi berbanding permulaan pandemik pada Februari 2020 apabila jatuh kepada RM2.98.

Kadar pertukaran mewakili peningkatan 4% hingga 5% dalam kuasa beli dalam dolar Singapura, ditambah dengan pasaran hartanah Malaysia menawarkan kemampuan yang sangat baik pada masa ini.

Menurut Kashif, harga rumah di Malaysia kekal berada dalam julat yang sama sejak 2019 tetapi mencatat jualan yang rendah dan kurangnya pembinaan baharu, digabungkan dengan keyakinan terhadap ekonomi, yang menyaksikan pasaran hartanah berada di peringkat awal kitaran meningkat.

"Apabila pasaran buruh, pendapatan isi rumah dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang dengan baik tahun ini dan seterusnya, kami menjangkakan pasaran rumah juga akan mencatat prestasi yang baik," tambahnya.

Beliau berkata, di sebalik pasaran hartanah Malaysia menunjukkan prestasi yang memberangsangkan semasa pandemik, data Kementerian Kewangan menunjukkan bahawa transaksi adalah lebih rendah berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Pada separuh pertama 2020, nilai transaksi hartanah jatuh lebih daripada 26% di bawah paras separuh pertama 2019.

"Nilai transaksi ini terus menurun sehingga separuh pertama 2021. Walaupun harga rumah di Malaysia turun 1.2% ketuka suku kedua 2021, tetapi ia masih kekal sejajar dengan tahap 2019," katanya. - DagangNews.com