Skip to main content

Malaysia

Fahmi cadang 'prompt engineer' di setiap NADI

KUALA LUMPUR, 24 Mei -- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil pada sidang media selepas penutup Inter-Agency Retreat on Combatting Online Scam 2026 di The Vertical, Pusat Persidangan dan Acara Connexion (CCEC) hari ini.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Fahmi memberi contoh, aplikasi digital boleh dibangunkan di kawasan luar bandar seperti Pulau Banggi atau Felda, sekali gus membuka lebih banyak peluang ekonomi setempat. - Gambar fail/BERNAMA

PUTRAJAYA: Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil mencadangkan satu inisiatif baharu untuk melahirkan sekurang-kurangnya seorang jurutera arahan kecerdasan buatan atau 'prompt engineer' di setiap Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di seluruh negara.

Menurut beliau, langkah itu selari dengan hasrat kerajaan yang menekankan kepentingan rakyat memahami dan menggunakan teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI).

Fahmi berkata, ketika ini terdapat lebih 1,000 NADI di seluruh negara yang boleh dijadikan pusat pembangunan kemahiran digital, khususnya dalam bidang AI.

Beliau menjelaskan, 'prompt engineer' bukan sekadar pengguna teknologi, tetapi individu yang mampu memahami dan menguasai penggunaan alat AI untuk membangunkan aplikasi baharu yang boleh memberi manfaat kepada komuniti setempat.

“Di setiap NADI, kita mahu ada seorang anak muda yang mahir bukan sahaja menggunakan AI, tetapi membangunkan aplikasi yang boleh membantu masyarakat di kampung masing-masing,” katanya.

Fahmi berkata demikian ketika Perhimpunan Bulanan bersama warga Kementerian Komunikasi hari ini. 

Tambah beliau, dengan kemudahan internet yang baik dan latihan yang sesuai, golongan muda tidak perlu berhijrah ke bandar untuk mencari peluang pekerjaan, sebaliknya boleh mencipta peluang sendiri di kawasan mereka.

Fahmi memberi contoh, aplikasi digital boleh dibangunkan di kawasan luar bandar seperti Pulau Banggi atau Felda, sekali gus membuka lebih banyak peluang ekonomi setempat.

Beliau yakin inisiatif itu mampu melahirkan tenaga kerja digital baharu yang lebih berdaya saing serta menyokong transformasi digital negara.

Must Watch Video

Advertisement