ISTANBUL: Iraq dan Syria pada petang Ahad mengumumkan penutupan sementara ruang udara susulan ketegangan baharu antara Iran dan Israel.
Pihak berkuasa Iraq memutuskan untuk menutup ruang udara negara itu selama 72 jam susulan serangan peluru berpandu Iran ke atas Israel, lapor Anadolu Ajansi memetik Agensi Berita Iraq (INA).
Sementara itu, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Syria mengumumkan penutupan sementara koridor udara selatan negara itu dan penggantungan operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Damsyik “susulan perkembangan terkini” selepas serangan peluru berpandu Iran ke atas Israel.
Koridor udara selatan negara itu akan ditutup sementara “selama 12 jam, bermula 11 malam waktu tempatan Ahad hingga 11 pagi waktu tempatan Isnin,” menurut kenyataan itu, yang memetik “penilaian teknikal berterusan yang dijalankan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam dan Pengangkutan Udara melalui Jawatankuasa Pengurusan Risiko.”
"Keputusan itu membabitkan penggantungan operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Damsyik sepanjang tempoh penutupan berkenaan," menurut kenyataan itu.
Iran melancarkan peluru berpandu ke arah utara Israel lewat Ahad, serangan seumpama itu yang pertama sejak gencatan senjata rapuh pada April, selepas serangan Israel ke atas kawasan pinggir selatan Beirut pada awal hari yang sama.
Penyiar negara Iran, IRIB berkata serangan akan diteruskan “jika Israel bertindak balas terhadap serangan Iran atau tidak menghentikan serangannya ke atas Lubnan.”
-- BERNAMA-ANADOLU