KUALA LUMPUR: Indeks kos bahan binaan (IKB), tanpa bar keluli dan termasuk bar keluli, terus meningkat pada Mac 2022, sejajar dengan peningkatan dalam kebanyakan bahan binaan, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, hampir kesemua bahan binaan, seperti simen, keluli, pasir, bata, bumbung dan bahan siling, meningkat pada bulan tersebut.

“Kenaikan harga keluli, contohnya disebabkan oleh pengurangan kos bahan mentah bagi negara-negara pengeluar besi.

"Harga keluli turut meningkat ekoran daripada peperangan Rusia-Ukraine kerana kedua-dua negara ini merupakan antara negara pengeluar keluli yang terbesar. Ia telah memberi kesan gangguan rantaian bekalan global," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Pada Mac 2022, IKB tanpa bar keluli bagi semua kawasan di Semenanjung Malaysia meningkat sebanyak 0.1 dan 1% bagi hampir semua kategori bangunan.

Trend yang sama dapat dilihat di Sabah dan Sarawak yang meningkat antara 0.1 dan 2.6% bagi hampur semua kategori bangunan.

Kategori bangunan yang merekodkan peningkatan tertinggi ialah bangunan konkrit bertetulang (KT) 5 tingkat dan lebih (untuk pejabat) diikuti bangunan KT 1 Tingkat, 2-4 Tingkat (berbumbung rata) dan bangunan (KT) 2-4 tingkat (Berbumbung Curam) di Terengganu, Kelantan, Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan.

Untuk kategori bangunan dengan peningkatan tertinggi di Sabah dan Sarawak adalah bangunan KT 5 tingkat dan lebih (untuk pejabat) dan 5 tingkat dan lebih (untuk penginapan) di Sandakan dan Cerucuk (KT) di Kuching.

IKB dengan bar keluli bagi semua kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak juga meningkat di antara 0.1 dan 1.9% bagi hampir semua kategori bangunan.

Kategori bangunan yang merekodkan peningkatan tertinggi di Semenanjung Malaysia ialah bangunan (KT) 5 tingkat dan lebih (untuk pejabat) di Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan dengan 1.6%.

Sandakan di Sabah dengan 0.9% bagi bangunan (KT) 5 tingkat dan lebih (untuk penginapan) dan bangunan (KT) 5 tingkat dan lebih (untuk pejabat) dan Kuching di Sarawak dengan 1.9% bagi cerucuk (KT). - DagangNews.com