Skip to main content

Bisnes

Harga minyak dijangka terus naik pada pembukaan pasaran Asia hari ini

Sumber: Adobe Stock
Harga minyak mentah global dijangka meneruskan kenaikan pada pembukaan pasaran Asia hari ini tatkala perang Amerika Syarikat (AS)-Israel terhadap Iran memasuki minggu ketiga. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Harga minyak mentah global dijangka meneruskan kenaikan pada pembukaan pasaran Asia hari ini tatkala perang Amerika Syarikat (AS)-Israel terhadap Iran memasuki minggu ketiga.

Ia susulan peningkatan kebimbangan terhadap gangguan bekalan global susulan penutupan Selat Hormuz, laluan perkapalan minyak paling kritikal di dunia.

Advertisement

Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) pada Ahad mengumumkan, lebih 400 juta tong rizab minyak kecemasan akan dilepaskan ke pasaran dalam apa yang disifatkan sebagai pengeluaran rizab terbesar dalam sejarah, bertujuan mengekang lonjakan harga akibat konflik di Asia Barat.

IEA berkata, stok dari Asia-Oceania akan dilepaskan serta-merta, manakala bekalan dari Eropah dan Amerika akan tersedia menjelang akhir Mac.

Penanda aras global Brent ditutup melepasi paras AS$100 setong bagi sesi kedua berturut-turut pada Jumaat, meningkat 2.67 peratus atau AS$2.68 kepada AS$103.14 setong.

Minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) AS naik 3.11 peratus atau AS$2.98 kepada AS$98.71 setong.

Kenaikan itu dijangka memberi kesan limpahan kepada dagangan awal Asia, dengan niaga hadapan minyak mentah dijangka dibuka lebih tinggi di Tokyo, Singapura dan Shanghai, selari dengan sentimen risiko tenaga global.

Presiden AS, Donald Trump menggesa sekutu-sekutu negaranya mengerahkan kapal perang bagi mengamankan laluan perkapalan di Selat Hormuz, yang mengendalikan kira-kira seperlima penggunaan minyak global.

Trump turut mengancam serangan lanjut ke atas hab eksport minyak Iran di Pulau Kharg, selepas AS melancarkan serangan ke atas sasaran ketenteraan di kawasan itu pada Sabtu. Iran membalas dengan kenyataan tegas, memberi amaran akan melakukan tindakan balas tambahan.

Tidak lama selepas serangan tersebut, dron Iran dilaporkan menyerang terminal minyak utama di Fujairah, Emiriah Arab Bersatu (UAE), sekali gus menandakan peluasan skop konflik.

“Ini merupakan satu peningkatan ketara dalam konflik,” kata penganalisis JP Morgan, Natasha Kaneva seperti dilaporkan Reuters.

Selain Fujairah, penganalisis JP Morgan itu turut menyenaraikan terminal eksport Ras Tanura dan fasiliti pemprosesan minyak Abqaiq di Arab Saudi sebagai antara aset tenaga paling kritikal dan terdedah kepada risiko di rantau Teluk.

Bagaimanapun, operasi pemuatan minyak di Fujairah telah disambung semula, menurut sumber industri berpangkalan di Fujairah kepada Reuters pada Ahad.

Fujairah, yang terletak di luar Selat Hormuz, merupakan laluan eksport bagi kira-kira 1 juta tong sehari minyak mentah Murban, minyak utama UAE, bersamaan hampir 1 peratus permintaan minyak global.

IEA menganggarkan bekalan minyak global berpotensi susut sebanyak 8 juta tong sehari pada Mac akibat gangguan perkapalan, manakala pengeluar di Asia Barat telah mengurangkan pengeluaran sekurang-kurangnya 10 juta tong sehari sejak konflik tercetus.

Setiausaha Tenaga AS, Chris Wright pada Ahad berkata beliau menjangkakan perang dengan Iran akan berakhir dalam tempoh 'beberapa minggu akan datang', sambil menambah bahawa bekalan minyak akan pulih dan kos tenaga akan menurun selepas konflik reda.

Namun, harapan untuk penyelesaian segera dilihat semakin tipis. Pentadbiran Trump dilaporkan menolak usaha diplomatik oleh sekutu Asia Barat, menurut tiga sumber yang mengetahui perkara itu, manakala Iran menegaskan tiada gencatan senjata akan dipertimbangkan selagi serangan AS dan Israel berterusan.

Must Watch Video