BUSINESS
Harga pengeluar Malaysia susut 3.4%, sektor perlombongan paling terjejas - DOSM

Penyumbang utama kepada penurunan ini adalah sektor perlombongan yang menyusut secara mendadak sebanyak 17.8 peratus, berbanding -15.0 peratus pada Mac. - Gambar hiasan
PUTRAJAYA: Kos pengeluaran di Malaysia terus berada dalam trend menurun apabila Indeks Harga Pengeluar (IHPR) mencatatkan penyusutan tahunan sebanyak 3.4 peratus pada April 2025.
Ringkasan AI
- Indeks Harga Pengeluar (IHPR) Malaysia susut 3.4% pada April 2025, dipacu oleh kejatuhan besar dalam sektor perlombongan (-17.8%) dan pembuatan (-2.6%).
- Secara bulanan, IHPR turun 1.0%, dengan penurunan ketara dalam sektor pertanian (-6.0%) dan perlombongan (-1.2%), manakala bekalan air dan elektrik mencatatkan sedikit peningkatan.
- Secara global, trend IHPR bercampur: AS dan Jepun mencatatkan peningkatan sederhana, manakala China dan Thailand terus mengalami penurunan, menunjukkan tekanan harga yang berbeza mengikut negara.
Menurut Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin, penyumbang utama kepada penurunan ini adalah sektor perlombongan yang menyusut secara mendadak sebanyak 17.8 peratus, berbanding -15.0 peratus pada Mac.
Kejatuhan ini didorong oleh penurunan ketara dalam pengekstrakan petroleum mentah (-19.8 peratus) dan gas asli (-11.6 peratus).
"Sektor pembuatan turut mencatatkan penurunan sebanyak 2.6 peratus, dipengaruhi oleh kejatuhan dalam pembuatan kok dan produk petroleum bertapis (-15.7 peratus).
"Sebaliknya, sektor pertanian, perhutanan dan perikanan menunjukkan sedikit peningkatan sebanyak 2.6 peratus, dengan lonjakan utama datang daripada penanaman tanaman kekal (+5.9 peratus)," kata beliau.
Pada masa yang sama, sektor bekalan elektrik dan gas mencatatkan penyusutan 0.6 peratus, manakala bekalan air meningkat perlahan sebanyak 0.9 peratus.
"Secara bulanan, IHPR mencatatkan penurunan 1.0 peratus pada April 2025 berbanding Mac", jelas Mohd Uzir.
Sektor pertanian menyusut 6.0 peratus bulan ke bulan, dipengaruhi oleh penurunan 8.1 peratus dalam penanaman tanaman kekal.
Sektor perlombongan pula menyusut 1.2 peratus, dengan petroleum mentah turun 3.6 peratus.
Sektor pembuatan menurun 0.5 peratus, termasuk penyusutan 2.0 peratus dalam produk petroleum bertapis dan 1.0 peratus dalam produk makanan. Namun begitu, bekalan elektrik dan gas meningkat 0.3 peratus, dan bekalan air naik 1.3 peratus.
Dari sudut kategori pemprosesan, semua komponen IHPR mencatatkan penurunan tahunan pada April.
Indeks bahan mentah untuk diproseskan selanjutnya mencatatkan penyusutan paling ketara iaitu 9.2 peratus, didorong oleh kejatuhan dalam bahan bukan makanan (-11.2 peratus).
Indeks bahan perantaraan, bekalan dan komponen turun 2.2 peratus, terkesan oleh bahan api diproses dan pelincir (-10.3 peratus).
Manakala indeks barang siap susut 1.4 peratus, dipacu oleh kejatuhan dalam kelengkapan modal (-1.9 peratus).
Secara bulanan, bahan mentah untuk diproseskan susut 4.2 peratus, manakala bahan perantaraan dan barang siap masing-masing turun 0.2 peratus dan 0.5 peratus.
Melihat kepada perbandingan antarabangsa, laporan menunjukkan trend bercampur dalam IHPR global.
Bagi Amerika Syarikat, IHPR meningkat 2.4 peratus, lebih perlahan daripada kenaikan 3.4 peratus pada Mac.
Jepun pula mencatatkan peningkatan 4.0 peratus, sedikit rendah berbanding 4.3 peratus sebelumnya, disokong oleh sektor pengangkutan dan petroleum.
Sebaliknya, China terus berdepan deflasi harga pengeluar selama 31 bulan berturut-turut, dengan penurunan 2.7 peratus, menandakan permintaan domestik yang masih lemah.
Di rantau ASEAN, Thailand turut mencatatkan penyusutan 3.2 peratus, lebih besar berbanding 1.6 peratus pada bulan sebelumnya, menunjukkan corak penurunan serupa seperti yang dialami oleh Malaysia.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami