Vape: Tingkatkan kawal selia, banteras produk haram

Isu penggunaan vape di Malaysia terus mendapat tumpuan khususnya membabitkan kesan kepada kesihatan, keselamatan produk serta penguatkuasaan undang-undang. - Foto hiasan
KUALA LUMPUR: Isu penggunaan vape di Malaysia terus mendapat tumpuan khususnya membabitkan kesan kepada kesihatan, keselamatan produk serta penguatkuasaan undang-undang.
Ringkasan AI
- Isu penggunaan vape di Malaysia semakin membimbangkan apabila ada yang menyalahgunakan produk itu dengan bahan terlarang dan berbahaya.
 - Pakar menegaskan keperluan kawal selia menyeluruh terhadap industri vape bagi menjamin keselamatan pengguna serta mengawal pasaran haram.
 - Kajian dan perbincangan pakar antarabangsa menunjukkan keperluan pendekatan berimbang melindungi belia, mengawal kandungan, dan menyediakan alternatif selamat untuk perokok dewasa.
 
Kawal selia secara menyeluruh terhadap industri vape di Malaysia berperanan memberi jaminan keselamatan terhadap pengguna selain memastikan produk yang ditawarkan di pasaran tidak menggunakan campuran cecair yang membahayakan.
Malah, langkah mengawal selia produk vape yang disokong penguatkuasaan berkesan dapat memastikan kemasukan produk vape atau rokok haram dibanteras secara menyeluruh.
Menurut Profesor Pengurusan Hospital dan Ekonomi Kesihatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Dr Sharifa Ezat Wan Puteh, antara perkara yang perlu diberikan penekanan termasuk aspek penggunaan cecair serta peralatan vape.

Profesor Dr Sharifa Ezat Wan Puteh tegaskan kemasukan produk vape dan rokok haram perlu dibanteras.
Beliau menambah, garis panduan bagi produk vape di UK dinilai dari segi kandungannya, tahap nikotin serta aspek keselamatan.
“Golongan muda tertarik dengan vape haram kerana bau wangi, warna menarik dan harganya yang murah. Bagaimanapun mereka tidak sedar bahaya kandungan dalam vape tersebut," katanya ketika ditemui selepas sesi perbincangan Pengurangan Kemudaratan Tembakau (THR) di Asia sempena Sidang Kemuncak Kelapan THR yang berlangsung di Athens, Greece baru-baru ini.
Sharifa menjelaskan, di Malaysia kawal selia hanya tertumpu kepada peranti vape yang mana negara ini masih belum memiliki makmal piawaian bagi menguji kandungan cecair vape.
Tegasnya lagi, kawal selia penting apabila masih terdapat pengeluar vape yang bertanggungjawab dan memiliki makmal sendiri bagi membolehkan ujian keselamatan dilakukan.
Dalam pada itu, Profesor Pusat Ketagihan bagi Kajian Dadah Universiti Sains Malaysia, Profesor Dr Vicknasingam B Kasinather, berpendapat penggunaan terapi gantian nikotin (NRT) seperti produk tampalan berasaskan nikotin bagi perokok yang berhasrat untuk berhenti merokok mungkin kurang berkesan kepada sesetengah perokok.

Profesor Dr Vicknasingam B Kasinather menegaskan kawal selia diperlukan bagi menangani risiko produk vape dicampur dengan bahan berbahaya.
"Kalau kita duduk di mamak pakai tampalan nikotin, otak dapat nikotin, tetapi tingkah laku yang biasa dengan merokok itu tiada, jadi tidak rasa puas," katanya ketika ditemui di Athens, Greece, baru-baru ini.
Jelas beliau, tidak semua orang boleh berhenti merokok ketika cubaan pertama dan harus disediakan pilihan lain menerusi produk alternatif.
Bagaimanapun, beliau turut berpendapat kawal selia diperlukan bagi menangani risiko  penggunaan produk vape yang dicampur bahan sintetik yang berbahaya.
UNDANG-UNDANG VAPE DI FILIPINA
Filipina merupakan antara negara terawal di Asia yang memperkenalkan kerangka undang-undang komprehensif untuk produk vape pada 2022.
Menurut Setiausaha Agung Persekutuan Pergigian Asia Pasifik, Manila, Dr Fernando M. Fernandez, undang-undang ini diperkenalkan hasil kerjasama komuniti perubatan dengan mengambil kira pendekatan pragmatik terhadap realiti merokok.

Dr Fernando M. Fernandez berpendapat walaupun berhenti merokok adalah keutamaan, alternatif lain wajar diperkenalkan sebagai sokongan kepada perokok.
Beliau menegaskan, walaupun berhenti merokok adalah keutamaan, bagi pesakit yang gagal mereka memerlukan alternatif lain.
KESAN KAWALAN KETAT DI HONG KONG
Dalam pada itu, pelaksanaan peraturan ketat di Hong Kong menyumbang kepada kadar merokok antara terendah di Asia iaitu hanya 9.1 peratus perokok pada 2023 dengan sasaran penurunan kepada 7.8 peratus menjelang akhir 2025.
Antara peraturan ketat yang diperkenalkan termasuk larangan merokok di tempat awam dan pengharaman bagi produk tembakau alternatif seperti vape pada 2007.
Bagaimanapun, menurut Pakar Psikiatri Hong Kong Psychiatry and Integrated Medical Centre Limited, Dr Chung-Hin Willy Wong, larangan menyeluruh terhadap produk alternatif mempengaruhi pengguna menggunakan vape secara senyap.

Dr Chung-Hin Willy Wong menjelaskan larangan vape di Hong Kong telah membuka ruang kepada kemunculan produk vape yang tidak dikawal selia yang diperolehi menerusi pasaran gelap.
“Walaupun kawalan penting, kerajaan perlu mempertimbangkan semula pendekatan mereka dan menyokong usaha peralihan yang realisitk berasaskan bukti saintifik.
“Ia termasuk memberi peluang kepada perokok untuk berhenti secara berperingkat,” katanya dalam sesi perbincangan sama.
ANTARA PERANTI RAWATAN DAN RISIKO
Sementara itu, Menurut Pakar Perunding Perubatan Keluarga dan Pakar Rawatan Ketagihan Nikotin, Dr Rashidi Mohamed Pakri Mohamed, masih belum ada data konkrit untuk menolak kebaikan produk pengurangan kemudaratan seperti vape dalam merawat prokok berhenti merokok.

Dr Rashidi Mohamed Pakri Mohamed berpandangan produk vape dengan sistem tangki terbuka perlu dihentikan sehingga peraturan lebih ketat diperkenalkan.
Beliau yang terlibat dengan klinik berhenti merokok sejak 2004 menjelaskan, pelbagai cabaran dihadapi perokok untuk berhenti dan antara kekangan utama adalah kesesuaian ubat-ubatan dengan keperluan pesakit.
“Perokok kebiasaannya mengalami ketagihan nikotin. Produk seperti tampalan nikotin atau gula-gula getah hanya membantu mengatasi isu ketagihan nikotin, tetapi tidak menangani isu tingkah laku perokok.
“Rawatan berhenti merokok perlu dilihat secara holistik, iaitu rawatan secara perubatan dan tingkah laku, katanya ketika ditemui di Athens, Greece.
Dr Rashidi Mohamed turut memberi penegasan, bahawa vape sepatutnya hanya digunakan dalam kalangan perokok dewasa yang berhasrat untuk berhenti merokok dan bukan kegunaan rekreasi bagi remaja.
Kebimbangan yang dihadapi ketika ini, katanya pendekatan industri vape mengeluarkan produk dengan pelbagai perisa telah menarik minat golongan remaja. 
Selain itu, tegas beliau, produk sistem tangki terbuka vape mengundang masalah lebih besar apabila ia membolehkan pengguna dengan sendirinya mengisi semula cecair vape.
“Kita tidak tahu kandungan dalam cecair itu. Ia mungkin mempunyai kepekatan nikotin yang tinggi walaupun pada label dinyatakan sebaliknya. Ia boleh mendatangkan bahaya dan sesuatu yang kita tidak mahu,” katanya lagi.
Sehubungan itu, Dr Rashidi Mohamed menyarankan supaya penjualan sistem tangki terbuka dihentikan buat masa ini sehingga peraturan dan kawalan lebih ketat dilaksanakan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


