KUALA LUMPUR: Harga tanah dijangka naik mendadak disebabkan arah aliran pembelian berterusan oleh pemaju hartanah bagi memperluaskan bank tanah mereka untuk pembangunan jangka panjang, kata RHB Investment Bank (RHB Investment).

Menurut firma penyelidikan itu, persaingan mengumpul tanah dirancakkan lagi berikutan kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) iaitu syarikat pembuatan dan pemain pusat data, serta pelan pengembangan operasi yang diusahakan oleh beberapa syarikat elektrik dan elektronik (E&E).

"Akhir-akhir ini, syarikat yang gemar mengumpul tanah seperti Scientex dan Lagenda Properties juga sudah membeli tanah yang luas untuk pembangunan jangka panjang.

"Dengan ini, harga tanah dijangka naik mendadak oleh sebab rentak pembelian yang berterusan," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Jelas THB Investment, syarikat pemaju yang memiliki bank tanah yang luas selain terdedah kepada segmen perindustrian seharusnya meraih kelebihan besar menerusi projek pembangunan prasarana dan kemasukan pelaburan yang semakin meningkat.

Katanya, usaha rangsangan ekonomi yang mengambil tempat di Lembah Klang, Iskandar Malaysia dan Pulau Pinang dijangka dapat meningkatkan nilai sektor ini secara keseluruhannya.

"Sektor hartanah dijangka terus mendapat rangsangan pertumbuhan susulan liputan berita positif mengenai projek prasarana yang mungkin dilaksanakan, urus niaga tanah yang giat berjalan dan kemasukan pelaburan, khusus dalam sektor pusat data, tenaga hijau dan pembuatan," jelasnya.

Firma penyelidikan itu juga mengekalkan saranan Wajaran Tinggi ke atas sektor hartanah dengan syarikat pilihan utama ialah UEM Sunrise (UEMS), IOI Properties (IOIPG) dan Eastern & Oriental (E&O).

Sementara itu, penyelidikan itu turut menyentuh projek kereta api laju (HSR) antara Kuala Lumpur-Singapura dengan didapati seolah-olah aspek kos dan pelan pembiayaan bukan penghalang kepada pelaksanaan projek tersebut.

"Walaupun pelan pembiayaan dan kos pembinaan sering mendapat penelitian lebih, perkembangan berita baru-baru ini kelihatan seolah-olah aspek-aspek ini tidak akan menjadi batu penghalang kepada pelaksanaan projek.

"Semua pihak kini lebih tertumpu kepada projek HSR, Transit Aliran Ringan (LRT) Johor Bahru dan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura, dengan pemilik tanah utama berpotensi menerima manfaat daripada pelaksanaan projek-projek berkenaan," ujarnya.

Dalam pada itu, RHB Investment menggariskan lokasi bersebelahan dengan Singapura menjadikan Johor sangat penting kepada ekonomi negara.

Katanya, ini dapat dilihat daripada kesan tidak langsung konsert Taylor Swift di Singapura kepada sektor perhotelan, restoran dan peruncitan di Johor Bahru yang turut rancak sepanjang tempoh konsert berkenaan.

"Di beberapa pusat beli-belah di Johor Bahru, kadar penghunian dilihat hampir penuh, dan oleh itu, kami percaya banyak syarikat runcit berjenama kini akan menjadikan ibu negeri Johor sebagai pasaran penting untuk mengembangkan capaian operasi kedai mereka dalam masa terdekat.

"Semua kesan kekayaan ini dijangka mengukuhkan lagi permintaan hartanah di kawasan Iskandar Malaysia," katanya. - DagangNews.com