KUALA LUMPUR: Syarikat-syarikat perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (OGSE) Malaysia menyaksikan hasil mereka meningkat tujuh peratus tahun ke tahun kepada RM72.7 bilion pada tahun fiskal berakhir 31 Dis, 2022 (TK2022), dipacu oleh kadar kontrak yang lebih tinggi dan penggunaan aset di tengah-tengah pemberian kontrak baharu.

Berdasarkan penerbitan 100 Syarikat OGSE Terbaik di Malaysia (OGSE100) bagi TK2022 yang dikeluarkan hari ini, Perbadanan Sumber Petroleum Malaysia (MPRC) berkata 73.5 peratus daripada hasil industri disumbangkan oleh 100 syarikat OGSE terbaik negara.

"Syarikat-syarikat pertengahan (MTC) bukan OGSE100 serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) masing-masing menyumbang 13.8 peratus dan 12.7 peratus daripada hasil keseluruhan industri itu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Laporan itu juga mendedahkan bahawa pada 2022, populasi industri OGSE berjumlah 2,286 syarikat, terdiri daripada 100 syarikat OGSE100, 1,945 syarikat PKS bukan OGSE100 dan 241 syarikat MTC bukan OGSE100.

"Daripada 241 syarikat MTC, 12 daripadanya telah berkembang daripada PKS pada tahun sebelumnya, manakala 23 syarikat telah kembali kepada status PKS," katanya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MPRC Mohd Yazid Ja'afar berkata walaupun hasil yang lebih tinggi dicatatkan, namun keuntungan industri pada TK2021 telah bertukar kepada kerugian pada TK2022, yang disebabkan oleh rosot nilai daripada beberapa syarikat OGSE100, selain margin yang lebih rendah.

"Jika tidak termasuk rosot nilai, industri dan OGSE100 akan memperoleh keuntungan kecil pada TK2022," kata beliau di dalam laporan itu.

Menurut laporan OGSE100 bagi TK2022, industri OGSE mencatatkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM3.5 bilion berbanding keuntungan sebelum cukai sebanyak RM4.2 bilion pada TK2021, terutamanya disebabkan oleh kerugian rosot nilai RM5.2 bilion daripada beberapa syarikat senaraian awam dalam OGSE100.

Tanpa rosot nilai itu, industri berkenaan berupaya mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM1.7 bilion, yang mana OGSE100 menyumbang RM974.4 juta, kata kenyataan itu.

Namun begitu, Mohd Yazid melahirkan keyakinan terhadap industri OGSE pada masa hadapan, berdasarkan prospek terkini daripada Petroliam Nasional Bhd (Petronas).

Berdasarkan Prospek Aktiviti Petronas 2024-2026, Mohd Yazid berkata Malaysia diunjurkan stabil dari segi aktiviti pelantar penggerudian, struktur tetap, pemasangan dan projek.

"Selain itu, peluang-peluang industri hiliran masih kekal di Pengerang dan Sarawak, yang mana kerja-kerja pemulihan akan diperlukan.

"Projek-projek ini mewakili peluang yang luas untuk pemain-pemain OGSE tempatan yang dilengkapi dengan peralatan dan kepakaran yang betul untuk dimanfaatkan bagi tiga tahun akan datang," katanya.

Mohd Yazid juga menekankan tentang keperluan untuk syarikat-syarikat OGSE beralih ke arah kemampanan, kerana syarikat itu mesti mematuhi keperluan amalan kemampanan oleh pelanggan, pengawal selia, pelabur dan institusi-institusi kewangan.

-- BERNAMA