Hasil kerajaan am - kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan badan berkanun -- yang disatukan dijangka meningkat kepada RM279 bilion tahun hadapan daripada RM265.4 bilion tahun ini, menurut Laporan Ekonomi 2017/2018 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan.

Laporan itu menyatakan meskipun berlaku peningkatan trend perbelanjaan mengurus sejak 2016, perbelanjaan pembangunan dijangka mencatatkan pertumbuhan lebih tinggi sebanyak 17.1 peratus kepada RM56.3 bilion pada 2017.

Sementara itu, hasil janaan negeri kekal tinggi dengan Johor, Selangor, Sabah dan Sarawak merupakan penyumbang utama dengan jumlah hasil keseluruhan yang dijana adalah RM12 bilion atau 80.2 peratus.

Pada 2016, jumlah hasil negeri yang diunjurkan adalah sebanyak RM14.9 bilion dan pada tahun ini, ia diunjur meningkat kepada RM15 bilion dengan royalti dari petroleum, premium tanah dan pendapatan pelaburan, menurut laporan trersebut.

Laporan itu berkata, selain itu, pendapatan bersepadu di Syarikat Awam Bukan Kewangan (SABK) dijangka meningkat 2.4 peratus kepada RM353 bilion, dengan sebahagian besarnya disumbangkan oleh sektor tenaga, telekomunikasi dan pembinaan.

Walaupun perbelanjaan semasa dianggarkan meningkat 1.2 peratus kepada RM285.1 bilion daripada RM281.6 bilion pada tahun lepas, namun pertumbuhan hasil adalah lebih tinggi berbanding pertumbuhan perbelanjaan, menurut laporan itu.

Setelah mengambil kira semua komponen perbelanjaan, baki keseluruhan SABK disatukan dijangka mencatat defisit lebih rendah sebanyak RM27.4 bilion.

Pada akhir 2016, nilai bersih 15 SABK utama berjumlah RM570.1 bilion dengan nilai aset RM984.6 bilion iaitu lebih dua kali ganda berbanding saiz liability berjumlah RM414.5 bilion.

Bagi kedudukan kewangan sektor awam disatukan (CPS) yang terdiri daripada kerajaan am dan SABK, laporan itu menyatakan, ia dijangka mencatat lebihan pada akaun semasa yang lebih tinggi sebanyak RM84.7 bilion, disokong oleh peningkatan hasil SABK.

Tonton pembentangan Bajet 2018 di http://www.astroawani.com/live-tv

Perbelanjaan awam dijangka terus menyokong pelaburan dalam sektor strategik seperti pengangkutan awam, pertanian dan perikanan.

Defisit keseluruhan CPS dianggarkan sebanyak RM66.8 bilion atau lima peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar pada 2017.

"Bagaimanapun, prestasi CPS kekal kukuh memandangkang pelaburan SABK mampu menjana aliran pendapatan yang stabil dan membiayai komitmen hutang," menurut laporan tersebut. - BERNAMA