JKDM Selangor rampas 14 kereta import bernilai lebih RM3.34 juta

JKDM Selangor merampas 14 kenderaan import pelbagai jenis bernilai RM3.34 juta di sebuah gudang penyimpanan kenderaan di Shah Alam, pada 9 Sept. - Foto BERNAMA
KLANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor merampas 14 kenderaan import pelbagai jenis bernilai RM3.34 juta di sebuah gudang penyimpanan kenderaan di Shah Alam, dekat sini pada 9 Sept.
Pengarahnya Mohamad Azhar Ahmad Paharazi berkata antara kenderaan itu ialah Porsche 911 GT3 RS, Mercedes Benz S680 Maybach dan GLA35, Lexus RX300 serta Toyota Harrier dipercayai terpakai dan dibawa masuk dari Asia dan Eropah.
"Pemeriksaan mendapati lesen gudang itu tamat tempoh sejak lima bulan lepas, menyebabkan gudang perlu disita termasuk kenderaan disimpan di situ.
"Biasanya gudang kenderaan hanya diberikan tempoh lesen 48 bulan bagi tujuan pengoperasian," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat JKDM Pelabuhan Utara di sini hari ini.
Dalam kes berasingan, beliau berkata pihaknya merampas 1,314 liter minuman keras bernilai RM268,189 termasuk cukai kerana tidak mempunyai permit import di Zon Bebas Pelabuhan Barat di sini pada 6 Okt.
Beliau berkata siasatan lanjut mendapati barangan itu dipercayai dibawa masuk dari sebuah negara di Eropah pada14 Sept.
Siasatan dua kes itu dijalankan mengikut Seksyen 135(1)(a) dan (d) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda maksimum 20 kali ganda nilai barangan atau RM500,000 mana lebih tinggi atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


