KUCHING: Syarikat milik Sarawak, Hornbill Skyways Sdn Bhd dan Malaysia Aviation Group (MAG) telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) untuk mempercepatkan pemerolehan saham dalam MASWings Sdn Bhd bagi pengurusan perkhidmatan udara luar bandar.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata MoU itu akan membuka jalan ke arah perbincangan yang lebih terperinci antara kedua-dua pihak untuk memastikan negeri itu mendapat pegangan majoriti dalam MASWings.

"Sekarang ini, perbincangan terperinci (akan diadakan) antara kerajaan negeri Sarawak, kerajaan Persekutuan serta Khazanah Nasional Bhd, khususnya. Kami mahukan pegangan majoriti dan MAG berkemungkinan mahukan kepentingan tetapi majoriti harus dimiliki oleh Sarawak.

"Daripada segi garis masa, saya akan beri mereka tempoh tiga bulan (untuk menyelesaikan proses pengambilalihan). Kalau boleh, kami mahu beroperasi sepenuhnya dan mula terbang pada tahun depan," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis menandatangani MoU itu di sini pada Jumaat.

Hornbill Skyways yang mengendalikan perkhidmatan pajakan penerbangan di Sarawak sejak 1977 telah diberi mandat untuk mengambil alih pemilikan MASWings dan mengendalikan perkhidmatan penerbangan luar bandar di Sarawak serta Sabah.

Abang Johari berkata kerajaan negeri menyasarkan untuk menjadikan Kuching sebagai hab utama syarikat penerbangan selain mengembangkan laluan syarikat penerbangan itu ke destinasi serantau yang melibatkan kira-kira enam hingga tujuh jam perjalanan seperti Australia, Hong Kong, Singapura, Jepun, Korea Selatan dan India.

Bagaimanapun, MASWings tidak akan berorientasikan keuntungan kerana matlamat pengembangannya adalah untuk berkhidmat kepada rakyat, kata beliau lagi.

"Itulah syarat kami dalam pengambilalihan MASWings. Model tersebut berbeza daripada syarikat penerbangan lain, kerana kami tidak perlu menggunakan pesawat yang banyak, selagi ia terus bergerak dan terbang, jika tidak, kos susut nilai akan berlaku," tambahnya.

-- BERNAMA