KUALA LUMPUR: Hutang negara yang tinggi termasuk liabiliti mencecah RM1.5 trilion tidak akan memberi kesan kepada penarafan kredit antarabangsa, demikian menurut penganalisis.

Pada Selasa, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan hutang negara telah mencecah RM1.2 trilion dan termasuk liabiliti menjadikannya kepada RM1.5 trilion, yang mana ia perlu ditangani dengan segera.

Kedudukan hutang negara terkini itu menurut Perdana Menteri sudah mencecah melebihi 80% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Ia turut memberi kesan apabila Bajet Defisit akan lebih melebar daripada jangkaan awal iaitu 5.8% daripada KDNK untuk 2022.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Firdaos Rosli berkata, agensi penafaran antarabangsa bukan sahaja membuat penilaian kepada Malaysia tetapi ia juga akan merujuk kepada hutang berdaulat negara-negara lain.

Jelasnya, jika kenaikan hutang itu disebabkan pandemik COVID-19, keadaan ini tidak akan menjejaskan kedudukan kredit negara.

"Tetapi, sekiranya negara-negara lain (dalam kategori hutang dengan penarafan A3) seperti Malta dan Bostwana mempunyai kadar pertumbuhan yang lebih baik berbanding Malaysia, ini akan menyebabkan penarafan negara jatuh sedikit.

"Pada masa sama, penilaian hutang ini juga tidak boleh disabitkan dengan situasi di mana ia sudah melebihi kadar had statutori 65% yang ditetapkan kerana komponen had siling hutang negara adalah berdasarkan Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan Terbitan Pelaburan Kerajaan (GII) dan Bil Perbendaharaan Malaysia (MTB).

"Setakat 2022, ia berada pada paras 63%, masih di bawah had statutori hutang yang diluluskan Parlimen," katanya dalam pembentangan prospek ekonomi 2023, semalam.

Buat masa ini, Standard & Poor memberi penarafan kredit Malaysia pada A- dengan prospek stabil manakala Moody's dengan penarafan A3. Fitch Ratings pula memberi penarafan BBB+ terhadap Malaysia dengan prospek stabil.

Mengulas lebih lanjut, menurutnya, kedudukan hutang yang tinggi ini dilihat tidak akan menyebabkan banyak perubahan kepada Bajet 2023 yang akan dibentangkan semula pada 24 Februari ini.

Malah, katanya, kerajaan akan meneruskan bantuan-bantuan tunai sedia ada seperti Sumbangan Tunai Rahmah (yang dijenamakan semula daripada Bantuan Sara Hidup) kerana kerajaan masih mempunyai ruang untuk melakukan perbelanjaan walaupun terhad.

"Cuma, apa yang perlu kerajaan lakukan ialah memastikan kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang baik selepas dua tahun terjejas (akibat pandemik) bagi mengelakkan pertumbuhan terbantut," jelasnya.

Firdaous menjangkakan asas ekonomi Malaysia kekal kukuh memasuki 2023 dengan defisit fiskal diunjur mengecil antara 4 hingga 4.5% daripada KDNK berbanding 4.5% pada 2022.

Dalam tempoh sembilan bulan pertama 2022, defisit fiskal Malaysia mengecil kepada 3.9% daripada KDNK didorong pertumbuhan ekonomi yang lebih baik pada suku ketiga yang berkembang sebanyak 14.2%.

Terbitan MGS dan GII juga diunjur lebih tinggi sekitar RM185 bilion pada 2023 daripada anggaran RM175 bilion tahun lalu.

Beliau berkata, ekonomi Malaysia diunjur berkembang 8.1% pada 2022 melebihi anggaran rasmi kerajaan sekitar 6.5 hingga 7%.

"Namun, kebimbangan utama kami adalah mengekalkan momentum pertumbuhan Malaysia pada 2023. Ekoran ketidaktentuan pada tahun ini, kami percaya pertumbuhan KDNK sebenar Malaysia akan menyederhana kepada 4.5%, berbanding negara lain di rantau ini," katanya.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai kemungkinan pelaksanaan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST), beliau menjelaskan secara dasarnya Malaysia amat memerlukan cukai tersebut memandangkan sistemnya yang lebih baik berbanding cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang dilaksanakan ketika ini.

"Kadar yang bersesuaian jika ia dilaksanakan semula adalah kemungkinan antara 2 hingga 3%. Namun, jika ditanya mengenai waktu sesuai, tiada tempoh yang bersesuaian terutama dengan mengambil kira persekitaran ekonomi ketika ini.

"Contohnya, Singapura memulakan GST pada 3% ketika ia diperkenalkan (sekitar 1994) sebelum meningkat secara beransur-ansur (kepada 8% pada 2023)," katanya.

Bagaimanapun, menurutnya, sebarang langkah pengenalan semula GST mahupun pelarasan subsidi akan memberi kesan kepada tekanan inflasi dalam jangka masa sederhana.

"Kami meramalkan inflasi utama akan berlegar pada purata 3% tahun ini (berbanding 3.4% pada 2022) di bawah andaian bahawa kerajaan akan mengekalkan subsidi semasa bahan api," jelasnya. - DagangNews.com