KUALA LUMPUR: Subsidiari milik penuh Icon Offshore Bhd, Icon Caren (L) Inc telah memeterai perjanjian jual beli dengan ADES Arabia Holding bagi cadangan pelupusan pelantar Perisai Pacific 101 pada harga US$85.0 juta (RM381.7 juta).

Penyedia kapal sokongan dan kontraktor pelantar penggerudian luar pesisir itu dalam satu kenyataan pada Selasa berkata cadangan pelupusan itu tertakluk kepada kelulusan pemegang saham Icon yang akan diputuskan pada mesyuarat agung luar biasa dijadualkan tidak lama lagi.

Tertakluk kepada semua kelulusan yang diperoleh, cadangan pelupusan itu dijangka siap pada suku keempat 2022.

Icon, melalui unit milik penuhnya Icon Fleet Sdn Bhd, membeli aset pelantar dan berkaitan pelantar daripada Perisai Petroleum Teknologi Bhd pada harga US$42.54 juta (RM177 juta) semasa Oktober 2020.

Pengarah Urusan Icon, Datuk Seri Hadian Hashim berkata pengambilalihan pelantar itu membentangkan peluang kepada syarikat untuk menceburi perniagaan penggerudian luar pesisir pada harga yang sangat baik dan mampu beroperasi sebagai model tersendiri.

"Perniagaan ini menyediakan sumber pendapatan tambahan sebagai sebahagian daripada inisiatif pertumbuhan perniagaan jangka panjang syarikat iaitu bagi meningkatkan serta meluaskan penawaran produk termasuk perkhidmatannya untuk memberi khidmat yang lebih baik kepada pelanggan dan berkembang menjadi penyedia perkhidmatan bersepadu," katanya.

Beliau berkata cadangan pelupusan itu memberi peluang kepada Icon untuk menjana pelaburannya dalam pelantar dengan keuntungan besar sebanyak RM185.5 juta selain, menyediakan Icon dengan kekuatan kewangan ke arah kepelbagaikan ke dalam bidang perniagaan lain seperti segmen ruang tenaga serta perkhidmatan baharu melalui penggabungan dan pengambilalihan strategik.

-- BERNAMA