KUALA LUMPUR: IHH Healthcare Bhd menjangkakan ia akan terus kembali kepada perniagaan teras bukan COVID-19 tahun ini susulan pelonggaran sekatan di peringkat global walaupun berlaku kes Omicron.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Dr Kelvin Loh berkata pembukaan semula sempadan serta kadar vaksinasi yang tinggi akan memberi kesan kepada perkhidmatan berkaitan COVID-19 dalam perkhidmatan penjagaan kesihatan.

"Kes COVID-19 mencatatkan penurunan dan kami yakin keadaannya terkawal. Kami dapati pesakit domestik kembali untuk mendapatkan rawatan pilihan di hospital," katanya pada taklimat media mengenai prestasi kewangan suku keempat dan tahun kewangan 2021 menerusi telesidang semalam.

Beliau berkata populasi menua global akan mendorong peningkatan kadar kemasukan ke hospital dan keperluan untuk mendapatkan rawatan kesihatan.

Selain itu, Loh berkata IHH Healthcare sedang melabur dalam penjagaan kesihatan digital untuk menyediakan lebih banyak maklumat mengenai penjagaan kesihatan kepada penggunanya.

"Selain perniagaan konvensional yang disediakan di hospital, kami juga mahu menyediakan maklumat yang mudah untuk pesakit menerusi program transformasi digital," katanya.

Beliau berkata segmen diagnostik akan menyediakan laluan yang kukuh untuk syarikat melengkapkan perkhidmatan itu bagi penggunanya.

"Segmen diagnostik sedang mencatatkan pertumbuhan teguh dalam aktiviti sains perubatan untuk menawarkan lebih banyak ujian selain memahami prasakit dengan lebih baik," katanya.

Mengenai rancangan IHH Healthcare untuk Parkway China, beliau berkata syarikat sedang melalui semakan operasi utama di samping untuk memahami cara bekerja di China.

"Kami akan berada di China kerana kami komited kepada China namun saya berpandangan, hanya melibatkan cara bekerja, mungkin sesuatu yang perlu kita pelajari," katanya.

Keuntungan bersih IHH Healthcare bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2021 melonjak kepada RM1.86 bilion daripada RM289 juta yang dicatatkan pada tahun kewangan 2020.

-- BERNAMA