KUALA LUMPUR: Pendidikan tinggi masih memberi pulangan pendapatan yang lebih baik, namun kelayakan seperti ijazah perlu lebih sejajar dengan keperluan industri supaya ia benar-benar diterjemahkan kepada peluang pekerjaan yang bernilai.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, negara masih memerlukan tenaga kerja berilmu dan berkemahiran yang mampu memberi nilai tambah kepada aktiviti ekonomi.
“Kalau daripada sudut konteks pembangunan ekonomi negara, bagi saya kita perlukan bakat-bakat yang akan sentiasa mempunyai nilai tambah pada aktiviti ekonomi,” katanya dalam program Agenda AWANI pada Selasa.
Beliau berkata demikian bagi mengulas Laporan Survei Gaji dan Upah Malaysia 2025 yang diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada Isnin, yang menunjukkan pekerja berpendidikan tinggi masih menikmati kelebihan pendapatan berbanding mereka dengan tahap pendidikan lebih rendah.
Berdasarkan laporan itu, penengah gaji bulanan pekerja berpendidikan tertiari mencecah RM4,571 pada 2025, berbanding RM2,227 bagi mereka berpendidikan menengah dan RM1,754 bagi pendidikan rendah.
Mengikut kelayakan pula, pemegang ijazah merekodkan penengah gaji tertinggi sebanyak RM5,276, diikuti diploma RM3,779 serta STPM atau sijil RM2,775.
Namun bagi Akmal Nasrullah, cabarannya bukan sekadar memastikan lebih ramai anak muda memiliki kelayakan tinggi, tetapi memastikan kelayakan itu mempunyai nilai yang diperlukan pasaran pekerjaan memandangkan isu ketidakpadanan kemahiran masih menjadi cabaran dalam pasaran buruh negara.
Data DOSM bagi suku kedua 2026 menunjukkan 35.2 peratus pekerja berpendidikan tertiari berada dalam pekerjaan separa mahir atau berkemahiran rendah.
“Kalau tidak (ditangani) kita akan ada satu lagi generasi yang dari segi kelayakannya mungkin ada ijazah, tapi pendapatan dan yang lebih penting, dia punya kepuasan bekerja ataupun bidang yang dilakukan itu mungkin tidak seperti yang mereka harapkan,” katanya.
Justeru, beliau berkata pendidikan dan latihan perlu semakin dijajarkan dengan permintaan sebenar industri, termasuk melalui pengukuhan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Pembawaan pendekatan TVET itu semakin diperkasakan kerana keperluan teknikal ini akan membuka jalan ke arah peluang pendapatan yang baik sebab ada kemahiran yang diperlukan,” tegasnya.
Pada masa sama, perkembangan sektor bernilai tinggi seperti semikonduktor, kecerdasan buatan (AI) dan peralihan tenaga membuka ruang kepada pekerjaan yang memerlukan kemahiran lebih tinggi.
Akmal Nasrullah berkata perubahan teknologi juga perlu dimanfaatkan sebagai alat untuk meningkatkan nilai pekerja, bukannya hanya dilihat sebagai persaingan kepada tenaga manusia.
“Teknologi ini akan terus boleh dianggap sebagai satu persaingan tetapi sekiranya digarapkan dengan baik, ini akan boleh menjadi satu aset kepada generasi yang ada pada hari ini untuk meningkatkan kualiti dan produktiviti mereka.
“Maka sebab itu kita tidak boleh lari daripada keperluan mengangkat lagi keupayaan anak-anak kita dalam terus memahirkan diri dalam penggunaan kecerdasan buatan (AI), teknologi dan juga inovasi,” katanya.
#AgendaAWANI: Membina struktur gaji yang progresif & kerjaya lebih bernilai | 22 Sep 26