MELAKA: Semangat kekeluargaan merentas tiga generasi menyerikan suasana Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Notre Dame, apabila empat ahli keluarga Lee Nyonya hadir mengundi bersama-sama.
Lee Nyonya, 84, yang ditemani anaknya Lim Man Hong, 65, menantu Tan Lucy, 61, dan cucunya Kelly Lim, 45, menunaikan tanggungjawab demokrasi bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Laksamana.
Malah, ahli keluarga lain, termasuk cicit Lee, dijangka hadir pada sebelah petang berdasarkan saranan masa mengundi yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Lee yang mempunyai tujuh anak, 18 cucu dan 21 cicit berkata dia tidak pernah melepaskan peluang mengundi setiap kali pilihan raya diadakan, sekali gus menjadi contoh kepada generasi lebih muda dalam keluarganya.
“Saya tidak pernah ketinggalan sejak mula mengundi ketika saya muda dulu, sampai tidak ingat berapa kali saya telah mengundi setakat ini. Mengundi memang satu perkara yang wajib dilaksanakan,” katanya kepada Bernama.
Lebih mencuri tumpuan, kisah unik Lee yang mempunyai 12 orang adik-beradik dengan kesemua nama mereka sama, iaitu enam lelaki dinamakan Lee Baba, manakala enam perempuan kesemuanya bernama Lee Nyonya.
Ditanya tentang cara ibunya menggelar adik-beradiknya bagi mengelakkan daripada memanggil orang yang salah, anaknya Lim berkata ibunya ada cara tersendiri untuk berbuat demikian.
Menurut Lim, keunikan nama yang seragam itu sering menjadi bahan celoteh dan mengimbau kenangan lucu dalam kalangan ahli keluarga.
Kelly pula berkata meskipun ada ahli keluarga yang menetap di luar negeri dan bekerja di luar kawasan, usaha tetap digerakkan bagi memastikan tradisi turun mengundi bersama-sama diteruskan demi masa depan negeri.
"Kita memang ajak dalam kumpulan (WhatsApp) keluarga, semua mesti pulang mengundi. Ada juga yang mengundi secara pos kerana tinggal di Singapura, ada yang tidak dapat hadir kerana berada di luar negara,” katanya.
Pada PRN kali ini, DUN Kota Laksamana menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara penyandang Low Chee Leong (PH-DAP), Melvin Chua Kew Wei (BN-MCA) dan Ethan Lim Zhi Hao (Bersama).
Dapatkan berita terkini PRN Melaka ke-16 menerusi https://election.bernama.com/prn/melaka/2026/.
-- BERNAMA