IMF kekal unjuran pertumbuhan KDNK sebenar Malaysia kepada 4.5 peratus pada 2025, 4.0 peratus pada 2026

Menurut IMF, bagi rantau Asia yang sedang pesat membangun dan membangun, pertumbuhan dijangka menyusut daripada 5.3 peratus pada 2024 kepada 5.2 peratus pada 2025, dan seterusnya kepada 4.7 peratus pada 2026. - Gambar hiasan/REUTERS
KUALA LUMPUR: Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengekalkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar Malaysia pada kadar 4.5 peratus bagi 2025 dan 4.0 peratus pada 2026.
Menurut IMF dalam kemas kini Tinjauan Ekonomi Dunia (WEO) edisi Oktober 2025 yang diterbitkan semalam bertajuk 'Global Economy in Flux, Prospects Remain Dim,' unjuran terdahulu IMF ke atas KDNK Malaysia bagi 2024 sebanyak 5.1 peratus.
Katanya bagi pasaran sedang pesat membangun dan ekonomi membangun, pertumbuhan dijangka menyederhana kepada 4.2 peratus pada 2025 dan 4.0 peratus pada 2026 daripada 4.3 peratus pada 2024.
Menurutnya unjuran itu hampir tidak berubah berbanding kemas kini WEO edisi Julai, dan merupakan semakan menaik kumulatif sebanyak 0.6 mata peratusan berbanding WEO April 2025.Angka ini lebih rendah sebanyak 0.2 mata peratusan secara kumulatif berbanding unjuran pada Oktober 2024, dengan negara membangun berpendapatan rendah mengalami semakan menurun yang lebih besar berbanding negara berpendapatan sederhana, kata IMF.
Menurutnya bagi rantau Asia yang sedang pesat membangun dan membangun, pertumbuhan dijangka menyusut daripada 5.3 peratus pada 2024 kepada 5.2 peratus pada 2025, dan seterusnya kepada 4.7 peratus pada 2026.
Katanya bagi beberapa negara di rantau ini terutamanya di ASEAN, iaitu antara yang paling terkesan -- evolusi unjuran pertumbuhan sebahagian besarnya mencerminkan kadar tarif efektif yang dikenakan.
"Di China, unjuran pertumbuhan KDNK 2025 disemak turun sebanyak 0.6 mata peratusan dalam WEO April 2025 susulan peningkatan ketegangan perdagangan antara China dan Amerika Syarikat, dan kemudiannya disemak naik 0.8 mata peratusan dalam kemas kini WEO Julai selepas keputusan menghentikan kenaikan tarif pada Mei," katanya.
Menurut IMF, hasil yang lebih kukuh berbanding jangkaan dalam tempoh beberapa suku yang lepas mencerminkan pelaksanaan awal dalam perdagangan antarabangsa serta penggunaan domestik yang kekal teguh, didorong oleh pengembangan fiskal pada 2025 yang berjaya mengimbangi tekanan daripada ketidaktentuan dan tarif yang tinggi.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami