KUALA LUMPUR: Kesan kemerosotan nilai mata wang ringgit ke atas bayaran hutang langsung kerajaan Persekutuan adalah kecil berikutan kebanyakannya dalam ringgit Malaysia dan kurang lima peratus dalam dolar Amerika Syarikat (AS).

Ketika menegaskan perkara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata kebanyakan hutang kerajaan adalah dalam nilai mata wang ringgit, khususnya Bil Perbendaharaan dan Sekuriti kerajaan yang membabitkan kesan amat kecil.

"Mungkin sesetengah institusi swasta ada hutang luar negara tetapi mengikut pandangan Bank Negara Malaysia (BNM), kedudukan kecairan bank-bank tempatan adalah baik dan rizab perlindungan kita kira-kira US$106 bilion yang melebihi hutang jangka pendek," katanya pada sesi soal jawab di persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Tun Dr Mahathir Mohamad (Pejuang-Langkawi) mengenai kesan terhadap Bajet 2022, terutama bayaran oleh kerajaan dalam dolar AS dan adakah ini menyebabkan defisit negara meningkat.

Mustapa menjelaskan, turun naik nilai mata wang adalah perkara biasa dan prestasi ringgit tidak seteruk beberapa mata wang negara lain susulan tindakan bank pusat AS memperketat dasar monetari sebanyak 0.75 mata peratusan, baru-baru ini.

Selain itu, beliau berkata kerajaan juga sentiasa prihatin dalam usaha menjaga kebajikan Keluarga Malaysia, termasuk pemberian subsidi, bantuan dan insentif yang melibatkan peruntukan kira- kira RM80 bilion.

"Ini seperti meneruskan pemberian subsidi bahan api dan tenaga kepada produk petroleum iaitu RON95, diesel dan gas cecair asli.

"Harga runcit petrol RON95 di Malaysia pada kadar RM2.05 seliter adalah antara terendah di dunia iaitu lebih rendah berbanding Qatar sebanyak RM2.7 seliter, Arab Saudi (RM2.8 seliter) dan Indonesia (RM4.7 seliter)," katanya.

Menurutnya, sejumlah RM5.9 bilion turut disalurkan kepada 8.7 juta penerima Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) sehingga September 2022.

"Tanpa subsidi yang disediakan oleh kerajaan, Jabatan Perangkaan Malaysia menganggarkan bahawa kadar inflasi negara adalah jauh lebih tinggi iaitu 10.6 peratus berbanding 4.7 pada Ogos 2022," katanya.

Mustapa berkata dasar-dasar dan inisiatif kerajaan juga berjaya memulihkan ekonomi dan meringankan beban Keluarga Malaysia walaupun ekonomi negara sedang menghadapi pelbagai cabaran domestik dan global.

Jelas beliau, kalangan pakar ekonomi, termasuk daripada pertubuhan antarabangsa telah mengunjurkan pertumbuhan ekonomi dunia yang lebih rendah pada 2023 dan Malaysia sebagai sebuah ekonomi kecil dan terbuka, tidak terkecuali daripada tempias cabaran tersebut.

"Langkah-langkah bagi menangani cabaran ini akan diperincikan dalam Bajet 2023," katanya.

-- BERNAMA