BISNES
Indeks Sentimen PKS: Usahawan terus yakin hadapi cabaran global - Tinjauan

Antara sorotan utama tinjauan Indeks Sentimen PKS bagi separuh pertama tahun 2025 termasuk, PMKS berada dalam kedudukan kewangan yang mampan meskipun dalam persekitaran ekonomi yang mencabar. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) menunjukkan keyakinan berterusan meskipun berdepan jangkaan cabaran ekonomi dan kewangan susulan pengumuman tarif oleh Amerika Syarikat.
Menurut SME Bank, hasil tinjauan Indeks Sentimen PKS bagi separuh pertama tahun 2025 mencatatkan skor 55.2, sedikit menurun berbanding 55.8 pada separuh kedua 2024, namun kekal melebihi paras neutral 50.
Ini menandakan tahap keyakinan yang stabil dalam kalangan usahawan di seluruh negara.
Pemangku Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SME Bank, Datuk Dr Mohammad Hardee Ibrahim berkata, para usahawan kini lebih berhati-hati dan realistik dalam aspek jualan, pengembangan dan pengambilan pekerja baharu.“Sentimen ini sejajar dengan kerangka Ekonomi MADANI yang menekankan pertumbuhan mampan dan inklusif. Walaupun jangka pendek mencabar, asas ekonomi Malaysia kekal kukuh disokong oleh reformasi struktur dan pelaburan berkualiti tinggi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Antara sorotan utama tinjauan termasuk kesan pengumuman tarif terhadap prospek ekonomi, peningkatan kos operasi, serta kesan positif pelaksanaan e-invois dan penerapan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).
PMKS juga dilaporkan berada dalam kedudukan kewangan yang mampan meskipun dalam persekitaran ekonomi yang mencabar.
Ketua Pakar Ekonomi SME Bank, Lynette Lee Li Qing berkata, tinjauan tersebut menunjukkan bahawa ekonomi Malaysia akan terus berkembang pada kadar sederhana.
“KDNK suku pertama 2025 mencatatkan pertumbuhan 4.4 peratus tahun ke tahun, terendah sejak suku pertama 2024 dan di bawah julat unjuran rasmi 4.5 hingga 5.5 peratus,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa Bank Dunia telah menyemak semula unjuran pertumbuhan KDNK Malaysia kepada 3.9 peratus, selaras dengan penyusutan pertumbuhan global akibat ketegangan perdagangan.
“Namun, kadar pertumbuhan Malaysia masih lebih baik berbanding negara jiran seperti Thailand (3.1 peratus) dan Singapura (3.9 peratus),” tambahnya.
Tinjauan yang dijalankan antara Januari hingga April 2025 melibatkan 2,007 responden merentasi 39 sektor, menjadikannya tinjauan terbesar setakat ini.
Ia turut selaras dengan petunjuk utama lain seperti Leading Index oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), yang meramalkan ekonomi akan bergerak lebih perlahan dalam suku tahunan akan datang.
Laporan penuh Indeks Sentimen PKS 1H 2025 boleh diakses melalui pautan: https://go.smebank.com.my/SI20251HPR.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami