KUALA LUMPUR: Institusi kewangan, agensi penguatkuasaan dan pengawal selia mesti memulakan perjalanan kolektif merentasi sempadan, sektor dan ideologi untuk mewujudkan protokol pencegahan pengubahan wang haram (AML) dan pencegahan pembiayaan keganasan (CTF) yang ketat bagi mencipta semula kepercayaan dalam konteks jenayah kewangan dan pembiayaan keganasan, kata Institut Bank-bank Bertauliah Asia (AICB).

Pengerusinya, Tan Sri Azman Hashim berkata kepercayaan dalam kalangan negara juga penting untuk berkongsi risikan, kerjasama dalam penyiasatan, dan mengharmonikan peraturan AML dan CTF.

"Kerjasama antarabangsa adalah yang paling utama. Dengan mengukuhkan kepercayaan antara negara, kita mewujudkan barisan yang bersatu menentang pembiayaan keganasan yang mencetuskan bencana global.

"Kerajaan mesti memimpin melalui teladan, mengutamakan integriti, ketelusan dan akauntabiliti dalam dasar dan amalan mereka.

"Ini mendukung kepercayaan kepada kerajaan sambil menunjukkan komitmen terhadap keselamatan dan sekuriti negara," katanya dalam ucapan alu-aluannya di Persidangan Antarabangsa mengenai Jenayah Kewangan dan Pembiayaan Keganasan (IFCTF) ke-13.

Azman berkata kemajuan teknologi juga memainkan peranan penting dalam penciptaan semula kepercayaan.

"Inovasi seperti teknologi blockchain, kecerdasan buatan dan analitik data besar ialah alat berkuasa yang boleh dimanfaatkan untuk mengenal pasti corak jenayah kewangan, penipuan baharu dan scam serta memberikan pandangan tentang aktiviti yang mencurigakan, yang kesemuanya adalah kunci dalam memerangi jenayah kewangan dan pembiayaan keganasan," katanya.

Azman berkata teknologi baharu itu juga telah memberikan skop yang lebih luas kepada pengendali penipuan untuk beroperasi dengan lebih hebat, yang mana ia ditunjukkan melalui penipuan yang semakin meningkat, menyebabkan orang ramai sangat terdedah.

Sehubungan itu, Pengerusi AICB menegaskan bahawa kesedaran dan pendidikan yang berterusan adalah perlu dalam landskap kewangan global yang berkembang pesat pada hari ini.

"Kesimpulannya, penciptaan semula kepercayaan adalah suar harapan yang membimbing kita ke arah negara yang mampan, stabil dan selamat. Dalam memerangi jenayah kewangan dan pembiayaan keganasan, kepercayaan adalah asas untuk bergantung.

"Dengan memupuk budaya integriti, ketelusan dan akauntabiliti, kita bukan sahaja melindungi sistem kewangan kita tetapi juga melindungi negara dan rakyat daripada ancaman yang cuba menjejaskan kestabilan dan pertumbuhannya," kata beliau.



Membaik pulih dan mencipta semula kepercayaan

Gabenor BNM Datuk Abdul Rasheed Ghaffour mengakui IFCTF adalah platform kritikal untuk pakar-pakar membincangkan isu jenayah kewangan yang penting.

"Apa yang kita lakukan adalah penting, tetapi bagaimana (dilakukan) selalunya adalah sama penting. Menangani jenayah kewangan memerlukan integriti, iaitu kunci untuk mengekalkan keyakinan dan kepercayaan orang ramai terhadap sistem kewangan.

"Kita perlu membaik pulih, atau sebaliknya mencipta semula kepercayaan. Tetapi ini tidak boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja secara bersendirian. Kita semua perlu memainkan peranan kita dengan menegakkan prinsip integriti, ketelusan, dan akauntabiliti, yang akan membantu dalam memulihkan kepercayaan," kata beliau dalam ucapan perasmiannya.

Sementara itu, Pengerusi CONG Faradina Ghouse berkata IFCTF ialah platform tunggal terbesar di Malaysia yang menghubungkan pematuhan, audit, risiko, kewangan dan profesional perundangan untuk belajar daripada pakar dalam memerangi jenayah kewangan dan pembiayaan keganasan.

Beliau berkata persidangan itu memberi tumpuan kepada penggunaan keupayaan teknologi canggih dan metodologi berstruktur untuk mengukuhkan usaha pencegahan rasuah.

"Kita berharap peserta akan dapat meningkatkan amalan mereka untuk memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan dengan tahap integriti tertinggi dan melindungi organisasi mereka daripada ancaman jenayah kewangan," katanya.

Pada acara itu, Persatuan Bank-bank Dalam Malaysia (ABM) dan Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) turut melancarkan Kempen Kesedaran Scam Kebangsaan #JanganKenaScam yang diperbaharui.

IFCTF ke-13, bertemakan "Trust Reinvented: Building a Sustainable Culture of Integrity, Transparency and Accountability", dianjurkan bersama oleh Institut Bank-bank Bertauliah Asia (AICB) dan Kumpulan Rangkaian Pegawai-pegawai Pematuhan dengan sokongan BNM, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, dan Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan.

Persidangan itu menarik lebih kehadiran 1,000 delegasi daripada institusi kewangan tempatan dan antarabangsa.

-- BERNAMA