KUALA LUMPUR: Malayan Banking Bhd dan Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) yakin bahawa industri perbankan akan terus berkembang maju di bawah kepimpinan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) yang baharu, Datuk Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank merangkap Pengerusi ABM Datuk Khairussaleh Ramli berkata industri perbankan akan mendapat manfaat daripada pengalaman Abdul Rasheed bagi membolehkan Malaysia terus maju dan mengharungi tekanan semasa.

"Rekod prestasi Abdul Rasheed yang cemerlang, pengetahuan dan pengalaman yang luas akan menjadi kunci dalam menerajui BNM, salah satu bank pusat yang paling dihormati di dunia," katanya dalam satu kenyataan.

Khairussaleh juga berkata sebagai bakat kelahiran tempatan yang sebenar, sepanjang kerjayanya dengan bank pusat, Abdul Rasheed telah menyediakan kepakaran untuk memacu ekonomi negara dengan memainkan peranan penting dalam membangunkan rangka tindakan kewangan berimpak tinggi.

"Pemahaman beliau yang meluas mengenai ekonomi domestik, serantau dan global adalah satu kelebihan besar bagi negara ini dan kami yakin bahawa industri perbankan akan terus berkembang maju di bawah kepimpinan beliau.

"Sehubungan itu, kami berharap dapat terus bekerjasama rapat dengan Abdul Rasheed dan pasukan di BNM," katanya.

BNM pada Jumaat mengumumkan Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan untuk melantik Abdul Rasheed sebagai gabenor BNM bagi tempoh lima tahun berkuat kuasa 1 Julai 2023 hingga 30 Jun 2028.

Beliau akan menyandang jawatan itu daripada Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus yang menamatkan penggal lima tahunnya menjelang 30 Jun ini.

Sementara itu, Khairussaleh melahirkan penghargaan terhadap Nor Shamsiah di atas sumbangan beliau yang tidak terhingga kepada negara selama ini.

"Beliau telah berkhidmat dengan integriti tertinggi dengan meminjamkan pengetahuannya kepada industri kewangan di samping memperjuangkan inisiatif mengutamakan rakyat dalam membentuk Malaysia yang mampan dengan menggalakkan kestabilan monetari dan kewangan," katanya.

Nor Shamsiah telah memainkan peranan penting dalam memacu bank pusat itu sepanjang tempoh perkhidmatannya dan telah memperkenalkan pembaharuan serta inisiatif berpandangan ke hadapan yang telah membantu negara mempercepatkan pemulihannya daripada pandemik COVID-19.

"Kami sangat bernasib baik kerana berpeluang berkhidmat bersama beliau dan berterima kasih kepada Nor Shamsiah atas sumbangan yang diberikan. Kami mendoakan kesihatan yang baik kepada Tan Sri dan setiap kejayaan pada masa akan datang," tambah Khairussaleh.

Sementara itu, Abdul Rasheed menyertai bank itu pada 1988 dan naik ke jawatan Timbalan Gabenor pada 2016.

Beliau berkelulusan dari Universiti Malaya dengan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dan memegang MBA dari Said Business School, Universiti Oxford.

Sepanjang tempoh kerjayanya di bank pusat, Abdul Rasheed telah menerajui pelbagai jawatan kanan.

Beliau kini merupakan ahli Jawatankuasa Dasar Monetari dan Jawatankuasa Kestabilan Kewangan, jawatan yang disandangnya sejak 2015.

Beliau juga memainkan peranan penting dalam pembangunan serta pelaksanaan Pelan Induk Sektor Kewangan dan Rangka Tindakan Sektor Kewangan.

-- BERNAMA