Skip to main content

Dunia

Iran tuduh AS cuba ‘menutup kesalahan’ jenayah di PBB

61698293798_UNSC.jpg
Tehran turut mengecam keras sikap AS yang didakwa memainkan peranan sebagai “pendakwa dan hakim” dalam isu yang melibatkan konflik serantau. - Foto fail/AP

NEW YORK: Iran menuduh Amerika Syarikat (AS) cuba “menutup kesalahan” tindakannya sendiri di pentas antarabangsa selepas Washington mengemukakan pelbagai tuduhan terhadap Tehran dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Misi tetap Iran ke PBB dalam satu kenyataan berkata AS telah menyebarkan “pembohongan, tuduhan palsu dan maklumat tidak tepat” terhadap Iran, termasuk berkaitan program nuklear negara itu yang disifatkan sebagai aman.

Menurut kenyataan tersebut, Washington terus melanggar undang-undang antarabangsa melalui tindakan seperti sekatan maritim dan sokongan terhadap tindakan ketenteraan sekutu serantaunya.

“Ia terus melanggar undang-undang antarabangsa melalui sekatan maritim yang tidak sah, serta sokongan berterusan terhadap jenayah dan kekejaman rejim Israel di rantau ini,” menurut kenyataan itu.

Tehran turut mengecam keras sikap AS yang didakwa memainkan peranan sebagai “pendakwa dan hakim” dalam isu yang melibatkan konflik serantau.

“Pelaku dan pencuri kini berlakon sebagai pendakwa dan hakim, cuba menutup serta membersihkan jenayahnya sendiri,” menurut misi Iran.

Kenyataan itu mencerminkan ketegangan diplomatik yang semakin meningkat antara kedua-dua negara, khususnya dalam isu keselamatan maritim dan konflik di Asia Barat.

Iran sebelum ini berulang kali menuduh AS mengenakan sekatan laut yang melanggar kedaulatan negara dan undang-undang antarabangsa, termasuk merampas kapal komersial dan menahan kru.

Tehran menyifatkan tindakan tersebut sebagai pencerobohan yang mengancam keselamatan maritim serta kestabilan serantau.

Kritikan Iran itu dibuat ketika draf resolusi yang disokong AS dan beberapa negara Teluk berhubung keselamatan di Selat Hormuz terus mendapat sokongan meluas di PBB.

Menurut sumber diplomatik, resolusi tersebut kini disokong oleh kira-kira dua pertiga negara anggota PBB, mencerminkan kebimbangan global terhadap keselamatan laluan perkapalan strategik itu.

Resolusi itu antara lain menuntut kebebasan pelayaran, menghentikan serangan terhadap kapal serta memastikan keselamatan laluan perdagangan yang mengendalikan sebahagian besar bekalan minyak dunia.

Bagaimanapun, Iran menolak draf resolusi berkenaan, dengan mendakwa ia bersifat berat sebelah dan tidak mengambil kira faktor utama seperti sekatan maritim serta konflik yang lebih luas di rantau itu.

Tehran menegaskan bahawa sebarang penyelesaian perlu merangkumi penghentian tindakan ketenteraan dan sekatan terhadap negara itu, selain menghormati kedaulatan Iran.

Pertikaian terbaharu ini menunjukkan jurang yang semakin melebar antara Iran dan AS di peringkat antarabangsa, walaupun usaha diplomatik sedang dijalankan untuk meredakan konflik.

Dengan resolusi Selat Hormuz dijangka dibawa ke undian dalam masa terdekat, perkembangan ini dilihat bakal menjadi ujian penting kepada keupayaan PBB dalam menangani krisis keselamatan global.
 

 

Must Watch Video

Advertisement