KUALA LUMPUR: Inflasi Malaysia pada Jun 2023 mereda kepada 2.4 peratus, angka terendah bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Dalam kenyataan Indeks Harga Pengguna (IHP) Jun 2023 hari ini, jabatan itu menyatakan bahawa kadar inflasi yang mencecah 2.8 peratus pada Mei lepas, telah memaparkan aliran yang menyederhana sejak Januari 2023 apabila mencatat 3.7 peratus.

Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata peningkatan inflasi yang lebih perlahan pada Jun itu didorong oleh peningkatan lebih rendah bagi kumpulan restoran dan hotel iaitu 5.4 peratus, makanan dan minuman bukan alkohol (4.7 peratus) dan hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (2.3 peratus).

"Kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol menyumbang 29.5 peratus daripada keseluruhan wajaran IHP, telah merekodkan peningkatan sederhana iaitu 4.7 peratus (Mei 2023: 5.9 peratus).

"Komponen makanan di rumah merekodkan peningkatan lebih rendah untuk empat bulan berturut-turut kepada 3.2 peratus pada Jun 2023 berbanding 4.3 peratus pada bulan sebelumnya manakala komponen makanan di luar rumah mereda kepada 6.8 peratus berbanding 8.1 peratus pada Mei 2023," katanya.

Inflasi di peringkat negeri menyaksikan 10 negeri merekodkan peningkatan di bawah paras nasional 2.4 peratus dengan Wilayah Persekutuan Labuan mencatat peningkatan paling rendah sebanyak 1.2 peratus pada Jun 2023.

Bagaimanapun, kata Mohd Uzir, hanya enam negeri merekodkan peningkatan melebihi paras inflasi nasional iaitu Sarawak (3.0 peratus), Pahang (2.9 peratus), Wilayah Persekutuan Putrajaya (2.8 peratus), Selangor (2.7 peratus), Perak (2.7 peratus) dan Melaka (2.7 peratus).

Dari segi perbandingan dengan negara terpilih lain di Asia Pasifik, beliau berkata kadar inflasi di Malaysia adalah lebih rendah berbanding di Republik Korea, Indonesia dan Filipina.

Bagi zon Eropah pula, inflasinya meningkat perlahan kepada 5.5 peratus pada Jun 2023 berbanding 6.1 peratus pada bulan sebelumnya manakala inflasi di Amerika Syarikat reda kepada 3.0 peratus pada Jun 2023 berbanding 4.0 peratus pada Mei 2023.

-- BERNAMA