[KOLUMNIS] Mesyuarat tergempar UNSC mengenai AS-Venezuela: Kemungkinan yang boleh diduga
![[KOLUMNIS] Mesyuarat tergempar UNSC mengenai AS-Venezuela: Kemungkinan yang boleh diduga [KOLUMNIS] Mesyuarat tergempar UNSC mengenai AS-Venezuela: Kemungkinan yang boleh diduga](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2026-01/51767601614_TBUN.jpg)
Mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan PBB diadakan hari ini susulan tindakan AS menyerang Venezuela dan menahan Presiden Nicolas Maduro serta isteri. -Foto Reuters
MESYUARAT tergempar Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang dianggotai 15 anggota, termasuk Amerika Syarikat (AS), akan diadakan hari ini.
Ringkasan AI
- Mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan PBB diadakan hari ini susulan tindakan AS menyerang Venezuela dan menahan Presiden Nicolas Maduro serta isteri, dipandang sebagai satu amalan berbahaya.
- Venezuela merayu agar mesyuarat diadakan bagi membincangkan isu ini, dengan sokongan dari Colombia, China, dan Rusia.
- Bab VII Piagam PBB memberi kuasa kepada Majlis Keselamatan PBB untuk membuat tindakan yang melibatkan ancaman terhadap keamanan antarabangsa, termasuk langkah-langkah ekonomi dan penggunaan kekuatan bersenjata jika perlu.
Menurut pihak Presiden Majlis Keselamatan PBB, sesi tersebut akan diadakan di bawah agenda “Ancaman terhadap Keamanan dan Keselamatan Antarabangsa” di bawah Bab VII Piagam PBB yang melibatkan “Tindakan Berhubung Ancaman terhadap Keamanan, Pelanggaran Keamanan, dan Tindakan Pencerobohan”.
Tindakan Berhubung Ancaman terhadap Keamanan, Pelanggaran Keamanan, dan Tindakan Pencerobohan
Bab VII Piagam PBB di bawah tajuk “Tindakan Berhubung Ancaman terhadap Keamanan, Pelanggaran Keamanan, dan Tindakan Pencerobohan” adalah salah satu kuasa terbesar dan mengikat negara-negara Ahli PBB dari Perkara 39 sehingga Perkara 51 Piagam PBB.
Perkara 39 Piagam PBB memperuntukkan bahawa Majlis Keselamatan PBB mempunyai kuasa menentukan sama ada wujud atau tidak ancaman terhadap keamanan, pelanggaran keamanan, atau tindakan pencerobohan di mana-mana negara, di dalam kes ini, merujuk kepada situasi di Venezuela.
Jika wujud, maka pihak Majlis Keselamatan PBB hendaklah membuat syor, atau memutuskan langkah-langkah yang perlu diambil selaras dengan Perkara 41 dan 42 Piagam PBB, bagi mengekalkan atau memulihkan keamanan dan keselamatan antarabangsa melalui resolusi Majlis Keselamatan PBB.
Perkara 41 dan 42 Piagam PBB ini melibatkan dua syor atau langkah yang berbeza yang melibatkan langkah-langkah yang tidak melibatkan penggunaan kekuatan bersenjata (Perkara 41) dan tindakan menggunakan kekuatan bersenjata (Perkara 42) melalui Resolusi Majlis Keselamatan PBB.
Jika sebarang resolusi telah dibuat atau diputuskan oleh pihak Majlis Keselamatan PBB di bawah Bab VII Piagam PBB ini tanpa sebarang undi yang ditolak, terutama daripada mana-mana negara Ahli Tetap Majlis Keselamatan PBB iaitu AS, United Kingdom, Perancis, China dan Rusia, maka resolusi tersebut adalah mengikat kesemua 193 negara-negara Ahli PBB dan menjadi kewajipan undang-undang kepada kesemua negara-negara Ahli PBB untuk mereka menerima serta melaksanakan resolusi tersebut seperti yang termaktub di bawah Perkara 25 Piagam PBB dan diputuskan oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di dalam kes Legal Consequences for States of the Continued Presence of South Africa in Namibia (South West Africa) Notwithstanding Security Council Resolution 276 (1970) (Advisory Opinion) [1971] ICJ Rep 16.
Perkara 41 Piagam PBB memperuntukkan bahawa Majlis Keselamatan PBB boleh membuat mengambil tindakan yang tidak melibatkan penggunaan kekuatan bersenjata merangkumi gangguan sepenuhnya atau sebahagian terhadap hubungan ekonomi (sekatan ekonomi); dan perkhidmatan kereta api, laut, udara, pos, telegraf, radio serta saluran komunikasi lain, termasuklah pemutusan hubungan diplomatic antara Negara Ahli PBB dengan negara yang telah diputuskan oleh pihak Majlis Keselamatan.
Sebagai contoh, Majlis Keselamatan PBB telah memutuskan dan mengeluarkan Resolusi 2385 bertarikh 14 November 2017 di mana Majlis Keselamatan PBB menyuarakan kebimbangan bahawa kumpulan pengganas Al-Shabaab terus memperoleh sumber kewangan daripada perdagangan arang serta eksploitasi sumber semula jadi di Somalia.
Sehubungan itu, Majlis Keselamatan PBB telah melanjutkan sekatan senjata yang diubah suai ke atas Somalia, termasuk pemberian kuasa bagi pemintasan maritim terhadap import senjata haram dan eksport arang sehingga 15 November 2018, serta memperbaharui larangan senjata ke atas Eritrea bagi tempoh yang sama.
Selain itu, Resolusi 418 bertarikh 4 November 1977 juga telah dibuat oleh Majlis Keselamatan PBB bagi mengenakan sekatan atau larangan senjata mandatori ke atas Afrika Selatan sebagai langkah menentang dasar aparteid yang diamalkan di negara tersebut.
Jika langkah-langkah yang telah diambil di bawah Perkara 41 Piagam PBB tidak mencukupi atau berhasil, maka pihak Majlis Keselamatan PBB boleh mengambil tindakan atau langkah seterusnya menggunakan kekuatan bersenjata di bawah Perkara 42 Piagam PBB.
Penggunaan kekuatan bersenjata ini merangkumi demonstrasi ketenteraan, sekatan (blockade), serta operasi-operasi lain oleh angkatan udara, laut atau darat, sekiranya perlu, untuk mengekalkan atau memulihkan keamanan dan keselamatan antarabangsa, terutama di Venezuela.
Sebagai contoh, tidak lama selepas tercetusnya gelombang protes di Mesir dan Tunisia yang menandakan permulaan fenomena yang dikenali sebagai “Arab Spring”, penduduk Libya di Benghazi turut menyertai bantahan aman terhadap pemerintahan Muammar Gaddafi yang kemudiannya membawa kepada tercetusnya Perang Saudara Libya.
Pihak Majlis Keselamatan PBB telah memutuskan dan mengeluarkan Resolusi 1973 bertarikh 17 Mac 2011 yang memberi kebenaran untuk menggunakan kekerasan dan menjadi asas undang-undang kepada campur tangan ketenteraan dalam Perang Saudara di Libya pada waktu itu.
Resolusi tersebut menuntut “gencatan senjata serta-merta” dan memberi kuasa kepada komuniti antarabangsa untuk mewujudkan zon larangan terbang (no-fly zone), serta membenarkan penggunaan semua langkah yang perlu, kecuali pendudukan asing, bagi melindungi orang awam.
Kemungkinan Yang Akan Berlaku dan Penutup
Harus diingat bahawa AS ialah negara yang terlibat secara langsung dalam menyerang dengan skala yang besar ke atas Venezuela dan menculik Presidennya Nicolas Maduro dan isteri.
Tambahan pula, AS juga salah satu Ahli Tetap Majlis Keselamatan PBB yang mempunyai kuasa veto untuk menghalang segala cadangan dari pihak Majlis Keselamatan PBB untuk memutuskan dan mengeluarkan apa-apa resolusi oleh pihak Majlis di bawah Bab VII Piagam PBB tersebut.
Justeru, berkemungkinan besar, apa jua cadangan dari pihak Majlis Keselamatan PBB untuk memutuskan dan mengeluarkan apa-apa resolusi oleh pihak Majlis akan ditolak mentah-mentah oleh pihak AS kerana ia melibatkan negara mereka sendiri.
Jika ini berlaku, tiada sebarang tindakan yang boleh dikenakan keatas AS oleh pihak Majlis Keselamatan PBB di atas apa yang telah dilakukan oleh AS di bawah Piagam PBB tersebut.
Artikel ini ditulis oleh Dr Fareed Mohd Hassan (Pensyarah Kanan di Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia); Mohamad Aniq Aiman Alias (Penyelidik Doktor Falsafah Undang-Undang di Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia); Mohamad Afiq Mohamad Padeli dan Farhani Nabiha Mohd Yazi (Pensyarah Undang-Undang di Pusat Tamhidi, Universiti Sains Islam Malaysia); Siti Khadijah Azman (Pelajar Tahun Akhir jurusan Undang-Undang dan Syariah di Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia).
Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


