PUTRAJAYA: Inflasi Malaysia, yang diukur daripada Indeks Harga Pengguna (IHP) kekal 2.0 peratus pada Ogos.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan mata indeks mencatatkan 130.8 berbanding 128.2 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan inflasi didorong oleh peningkatan lebih rendah bagi kumpulan restoran dan hotel iaitu 4.7 peratus berbanding 5.0 peratus pada Julai.

Selain itu, ia dipengaruhi oleh kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol yang merekodkan 4.1 peratus pada Ogos, berbanding 4.4 peratus pada bulan sebelumnya.

"Ini diikuti oleh kumpulan pelbagai barangan dan perkhidmatan dan kesihatan masing-masing meningkat sebanyak 2.4 peratus. 

"Kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol menyumbang 29.5 peratus daripada keseluruhan wajaran Indeks Harga Pengguna (IHP) telah merekodkan peningkatan sederhana iaitu 4.1 peratus (Julai 2023: 4.4 peratus).

"Komponen makanan di rumah merekodkan peningkatan marginal 2.9 peratus berbanding 3.0 peratus yang direkodkan bulan sebelumnya.  Kenaikan komponen makanan di rumah adalah didorong terutamanya oleh subkumpulan daging (5.8 peratus)," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

.

Sementara itu bagi peringkat negeri pula, Mohd Uzir berkata, sembilan negeri merekodkan peningkatan di bawah paras nasional 2.0 peratus.

Beliau berkata hanya tujuh negeri merekodkan peningkatan melebihi paras inflasi nasional iaitu Sarawak (3.4 peratus), Putrajaya (2.7 peratus), Perlis (2.4 peratus), Perak (2.3 Perak), Selangor (2.3 peratus),  Pahang (2.2 peratus) dan Melaka (2.1 peratus).

Selain itu, ujarnya lagi kesemua negeri mencatatkan peningkatan inflasi makanan dan minuman bukan alkohol.

"Peningkatan tertinggi dicatatkan oleh Putrajaya (5.7 peratus), diikuti oleh Selangor (5.3 peratus), Sarawak (5.0 peratus),  Perlis (4.7 peratus), Melaka (4.4 peratus), Pulau Pinang (4.2 peratus), Labuan (4.2 peratus) dan Pahang (4.1 peratus).

"Sementara itu, negeri-negeri lain menunjukkan peningkatan di bawah paras inflasi makanan dan minuman bukan alkohol nasional iaitu 4.1 peratus pada Ogos 2023. 

"Inflasi keseluruhan secara bulanan pada Ogos meningkat marginal kepada  0.2 peratus berbanding 0.1 peratus pada Julai," kata Mohd Uzir.

Mengulas lanjut,  Mohd Uzir berkata komponen makanan di luar rumah pula, mereda kepada 5.9 peratus berbanding 6.2 peratus yang direkodkan pada Julai.

Subkumpulan daging yang merangkumi daging ayam, lembu, babi, kambing, kerbau dan itik mencatatkan peningkatan lebih tinggi 5.8 peratus pada Ogos berbanding Julai (5.5 peratus).

"Ayam merupakan komponen terbesar dalam subkumpulan daging mencatatkan kenaikan 5.7 peratus berbanding 4.3 peratus pada Julai

"Purata harga ayam standard di Malaysia meningkat kepada RM10.21 sekilogram berbanding RM10.51 sekilogram pada Julai.

"Begitu pun, subkumpulan beras, roti dan bijirin lain meningkat pada kadar perlahan iaitu sebanyak 4.0 peratus pada Ogos berbanding Julai (4.5 peratus).

"Ini antaranya disumbangkan oleh peningkatan sederhana kelas perbelanjaan roti dan kuih sebanyak 3.5 peratus  (Julai 2023: 4.2 peratus) dan tepung dan bijirin lain sebanyak 2.3 peratus (Julai 2023: 3.9 peratus)," kata Mohd Uzir lagi.

Beliau menambah kelas perbelanjaan beras meningkat 3.0 peratus berbanding 2.4 peratus pada Julai, dengan beras import meningkat 3.6 peratus (Julai 2023: 2.3 peratus).

Dalam masa sama, subkumpulan minyak dan lemak terus mencatatkan penurunan bagi lima bulan berturut-turut iaitu negatif 1.4 peratus pada bulan Ogos berbanding negatif 2.2 peratus pada Julai.

Situasi itu, kata Mohd Uzir didorong sebahagiannya disebabkan oleh penetapan harga minyak masak yang masih kekal bagi tempoh 8 Ogos hingga 7 September tahun ini.

Inflasi restoran dan hotel turut meningkat perlahan kepada 4.7 peratus pada bulan Ogos berbanding 5.0 peratus pada Julai 2023, sementara inflasi pengangkutan tidak merekodkan sebarang kenaikan berbanding negatif 0.4 peratus pada Julai. 

"Tambahan pula, penurunan harga minyak petrol tanpa plumbum RON97 kepada negatif 23.4 peratus pada bulan Ogos 2023 (RM3.37 seliter) berbanding Ogos 2022 (RM4.40 seliter) merupakan penyumbang kepada penurunan kelas perbelanjaan ini. Kelas perbelanjaan ini menyumbang sebanyak 58.4 peratus wajaran kepada kumpulan ini," kata Mohd Uzir.