BUSINESS
Inflasi Malaysia naik sederhana kepada 1.4 peratus pada April 2025

Kumpulan makanan dan minuman menyumbang 29.8 peratus daripada keseluruhan wajaran IHP. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Inflasi keseluruhan Malaysia mencatat peningkatan sederhana sebanyak 1.4 peratus pada April 2025 dengan indeks harga pengguna naik kepada 134.3 mata daripada 132.4 mata pada bulan yang sama tahun sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.
Ringkasan AI
- Inflasi keseluruhan Malaysia meningkat sebanyak 1.4 peratus pada April 2025, dengan indeks harga pengguna naik kepada 134.3 mata berbanding 132.4 mata pada bulan yang sama tahun sebelumnya.
- Kenaikan inflasi didorong oleh peningkatan dalam kumpulan penjagaan peribadi, perlindungan sosial dan pelbagai barangan, yang meningkat 4.1 peratus, serta kenaikan dalam sektor pendidikan (2.3 peratus) dan perumahan (2.0 peratus).
- Harga purata diesel di Semenanjung Malaysia meningkat kepada RM2.95 seliter, manakala di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada RM2.15 seliter, dengan Kelantan dan Putrajaya mencatatkan kenaikan inflasi terendah (0.5 peratus).
Beberapa kumpulan yang mencatatkan peningkatan yang lebih perlahan berbanding Mac 2025 adalah seperti berikut: Makanan dan minuman (F&B) menurun kepada 2.3 peratus (2.5 peratus); rekreasi, sukan dan kebudayaan, 1.3 peratus (1.7 peratus); kesihatan, 0.9 peratus (1.0 peratus); dan hiasan, perkakasan, peralatan dan penyelenggaraan isi rumah, 0.1 peratus (0.2 peratus).
Menurut Jabatan Perangkaan, kumpulan yang mencatatkan kadar yang sama seperti bulan sebelumnya ialah restoran dan perkhidmatan penginapan (2.9 peratus), insurans dan perkhidmatan kewangan (1.5 peratus), minuman beralkohol dan tembakau (0.8 peratus) serta pengangkutan (0.7 peratus).
"Selain itu, maklumat dan komunikasi serta pakaian dan kasut, masing-masing kekal berada pada jajaran negatif -4.5 peratus dan -0.1 peratus," kata Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.
Mengulas lanjut, beliau berkata kumpulan makanan dan minuman menyumbang 29.8 peratus daripada keseluruhan wajaran IHP. Penurunan kelas perbelanjaan sayur-sayuran; susu, produk tenusu lain dan telur; buah-buahan dan kekacang; bijirin dan produk bijirin serta daging menyumbang kepada peningkatan yang lebih perlahan bagi kumpulan makanan dan minuman.
Subkumpulan utama makanan di rumah adalah pada 0.5 peratus berbanding 0.6 peratus pada bulan sebelumnya.
Beliau berkata harga purata diesel di Semenanjung Malaysia ialah RM2.95 seliter berbanding RM2.15 pada April 2024 (Mac 2025: RM3.08).
"Bagaimanapun, harga purata diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada RM2.15 seliter," katanya.
Jabatan itu berkata Kelantan dan Putrajaya mencatatkan kenaikan terendah pada 0.5 peratus, manakala empat negeri mencatatkan kenaikan melebihi tahap inflasi negara, iaitu Johor (2.2 peratus), Negeri Sembilan (1.7 peratus), Selangor (1.7 peratus) dan Melaka (1.6 peratus).
Jabatan Perangkaan berkata Kelantan dan Putrajaya mencatatkan kenaikan terendah pada 0.5 peratus, manakala empat negeri mencatatkan kenaikan melebihi paras inflasi nasional iaitu Johor (2.2 peratus), Negeri Sembilan (1.7 peratus), Selangor (1.7 peratus) dan Melaka (1.6 peratus).
Bagi perbandingan dengan negara-negara terpilih, inflasi Vietnam adalah pada 3.1 peratus, Indonesia 2.0 peratus manakala Thailand -0.2 peratus dan China -0.1 peratus, katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami