KUALA LUMPUR: Sepanjang minggu ini, menyaksikan pelbagai isu ekonomi mendominasi laporan Niaga AWANI.

Inflasi, tenaga kerja Indonesia, tahap hutang kerajaan dan korporat menjadi antara tumpuan utama.

Berikut rangkuman lima berita utama perniagaan, ekonomi dan kewangan minggu ini. 

1. Tiada cadangan tutup sektor ekonomi walaupun kes COVID-19 meningkat - PM

Kerajaan tidak bercadang untuk menutup kembali sektor ekonomi seperti sebelum ini, walaupun berlaku peningkatan kes positif COVID-19 sejak awal bulan ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah penting yang perlu diambil rakyat ketika ini adalah untuk terus mengamalkan kawalan kendiri selain mengambil dos penggalak bagi melindungi diri masing-masing.


2. Petronas sahkan terima notis, susulan laporan aset di Azerbaijan dirampas waris Kesultanan Sulu

Petronas mengesahkan bahawa dua anak syarikatnya di Azerbaijan telah menerima notis ‘Saisie-arret’, susulan laporan media bahawa aset dua syarikat terbabit dirampas waris Kesultanan Sulu.

Bagaimanapun kedua-dua anak syarikat Petronas terbabit telahpun melupuskan semua aset di Azerbaijan, sebelum ini.


3. Jualan automotif Kumpulan UMW melonjak 14 peratus

Jualan automotif Kumpulan UMW melonjak 14 peratus pada Jun 2022 apabila kedua-dua UMW Toyota Motor (UMWT) dan syarikat bersekutu UMW, Perodua, mencatatkan jualan yang lebih baik.

Kumpulan dalam satu kenyataan berkata, ia telah mendaftar 30,103 unit pada Jun 2022 berbanding 26,480 unit yang didaftarkan pada Mei 2022 seiring memenuhi permintaan yang tertunggak.


4. Kewangan negara stabil, hutang di tahap terkawal - Tengku Zafrul

Kedudukan fiskal negara masih kukuh dan hutang kerajaan Persekutuan masih di tahap terkawal, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata, walaupun negara telah melalui beberapa siri krisis kemelesetan ekonomi dan kewangan sebelum ini, kerajaan amat berdisiplin dan tidak pernah gagal membayar faedah dan hutang yang matang.


5. Dua lagi unit Sapura Energy dikemukakan petisyen penggulungan

Dua lagi unit Sapura Energy Bhd yang dibebani hutang, Sapura Pinewell Sdn Bhd (SPSB) dan Sapura Fabrication Sdn Bhd (SFSB), telah dikenakan petisyen penggulungan kerana gagal menjelaskan RM906,194 dalam jumlah tertunggak.

SPSB dan SFSB mendapat petisyen pada 8 Julai lalu, berikutan invois yang tidak dibayar masing-masing daripada Plomo Group Sdn Bhd dan Marine Creation Sdn Bhd, menurut pemakluman syarikat itu di Bursa Malaysia.