KUALA LUMPUR: Jualan automotif Kumpulan UMW melonjak 14 peratus pada Jun 2022 apabila kedua-dua UMW Toyota Motor (UMWT) dan syarikat bersekutu UMW, Perodua, mencatatkan jualan yang lebih baik. 

Kumpulan dalam satu kenyataan berkata, ia telah mendaftar 30,103 unit pada Jun 2022 berbanding 26,480 unit yang didaftarkan pada Mei 2022 seiring memenuhi permintaan yang tertunggak.

Bagi separuh tahun pertama, Kumpulan UMW mendaftar sejumlah 173,254 unit atau 32 peratus lebih tinggi daripada 131,401 unit yang didaftarkan dalam tempoh yang sama 2021.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UMW Holdings Berhad, Datuk Ahmad Fuaad Kenali berkata, jualan pada Jun 2021 telah terjejas lantaran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dari 1 Jun hingga 15 Ogos 2021.

“Kami gembira dengan peningkatan jualan yang didaftarkan oleh UMWT dan Perodua pada Jun 2022.

“Walaupun pengecualian cukai jualan tidak dilanjutkan selepas Jun 2022, kami berterima kasih kepada  kerajaan kerana melanjutkan pengecualian cukai jualan bagi tempahan tertunggak yang dibuat sebelum 30 Jun 2022 untuk didaftarkan selewat-lewatnya 31 Mac 2023.

“Pengumuman ini juga menyaksikan peningkatan besar dalam tempahan kenderaan baharu untuk UMWT dan Perodua pada minggu terakhir Jun 2022.

“Kedua-dua syarikat akan terus meningkatkan pengeluaran untuk menghantar kereta kami kepada pelanggan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

UMWT mencatatkan jualan bulanan tertinggi bagi Jun 2022 dengan 8,939 unit, 18 peratus lebih tinggi berbanding 7,579 unit yang dijual pada Mei 2022.

Setakat Jun 2022, UMWT menjual 45,911 unit, 35 peratus lebih tinggi daripada 34,111 unit  dalam tempoh yang sama tahun 2021.

Seiring menyegarkan semula barisan modelnya, pada 24 Jun lalu, UMWT telah memulakan pengambilan tempahan untuk Toyota Veloz serba baharu. 

Toyota Veloz baharu pemasangan tempatan (CKD) akan menggantikan Toyota Avanza dalam pasaran MPV segmen B Malaysia.

Sementara itu, Perodua mencatatkan jualan sebanyak 21,164 unit pada Jun 2022, 12 peratusnlebih tinggi daripada 18,901 unit yang didaftarkan pada Mei 2022.

Bagi separuh pertama 2022, Perodua menjual 127,343 unit, 31 peratusnlebih tinggi daripada 97,290 unit pada tempoh yang sama iaitu 2021 .

Model terlaris Perodua untuk separuh pertama 2022 ialah Myvi, Axia dan Bezza. 

Untuk mengukuhkan lagi kedudukan pasarannya, Perodua telah memulakan pengambilan pesanan untuk Perodua Alza serba baharu pada 23 Jun lalu.