Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) mendesak kerajaan mempertimbang semula cadangan pelaksanaan kenaikan gaji minimum pekerja pada tahun ini.

Pengarah Eksekutifnya, Datuk Shamsuddin Bardan berkata ini kerana situasi ekonomi yang suram sekarang bukanlah masa terbaik untuk berbuat demikian.

Kata Shamsuddin lagi, persekitaran ekonomi global yang perlahan menyaksikan kebanyakan syarikat mengalami penyusutan pendapatan sebanyak 30 hingga 40 peratus ketika ini.

"Berdasarkan keadaan ekonomi semasa, tidak sesuai untuk mengenakan bebanan tambahan kepada majikan. Sebab itu kami memohon kerajaan menyemak kembali tarikh pelaksanaan meskipun ia ditetapkan pada Julai 2016."

Beliau berkata demikian pada sidang media "Seminar Percukaian 2016, Isu serta Cabarannya" anjuran Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Persekutuan Majikan Malaysia di sini.

Tambahnya, kenaikan gaji minimum kebanyakannya lebih dimanfaat kalangan pekerja asing berbanding pekerja tempatan.

"Peningkatan gaji minimum memberi faedah kepada pekerja asing. Kami boleh lihat dari data sebelum pelaksanaannya, di mana jumlah penghantaran wang keluar oleh pekerja asing adalah sekitar RM18 bilion dan selepas pelaksanaan ia melonjak kepada RM30 bilion."

"Apabila mereka mengirim wang keluar, kadangkala mereka tidak salurkan melalui bank tetapi melalui saluran lain yang melibatkan jumlah pengiriman wang RM50 bilion, tetapi jika kita laksanakan kadar baharu (gaji minimum), jumlah kiriman wang akan meningkat RM5 bilion lagi."

Dalam Bajet 2016, kerajaan menggariskan bahawa gaji minimum untuk pekerja sektor swasta di Semenanjung dinaikkan daripada RM900 kepada RM1,000 sebulan dan daripada RM800 kepada RM920 bagi Sabah, Sarawak dan Labuan.

Mengulas mengenai langkah kerajaan untuk menggandakan penguatkuasaan bagi pengelak cukai tahun ini, Shamsuddin berkata Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) akan memberikan kerjasama sepenuhnya dalam pelaksanaan tersebut.

Beliau turut menggesa majikan untuk tampil ke hadapan serta bekerjasama dengan pihak LHDN bagi mengelak sebarang ketirisan cukai daripada terus berlaku.