KUALA LUMPUR: Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia berkembang 4.7 peratus tahun ke tahun pada Julai 2026, disokong oleh pertumbuhan dalam sektor pembuatan dan elektrik, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
DOSM dalam satu kenyataan memaklumkan indeks pembuatan dan elektrik meningkat masing-masing pada 6.4 peratus dan lima peratus, manakala indeks perlombongan susut 3.2 peratus.
"Berbanding bulan sebelumnya, IPP menyusut sebanyak dua peratus, daripada 5.5 peratus yang dicatatkan pada bulan sebelumnya," maklum jabatan itu.
Industri berorientasikan eksport kekal sebagai pemacu utama dalam pengeluaran sektor pembuatan pada Julai 2026 merekodkan pertumbuhan sebanyak 6.7 peratus selepas mencatatkan kenaikan 7.6 peratus pada bulan sebelumnya.
"Pertumbuhan ini didorong terutamanya oleh pembuatan produk komputer, elektronik dan optik, yang mengekalkan pertumbuhan dua digit sebanyak 14.0 peratus, manakala pembuatan mesin dan peralatan meningkat 14.6 peratus.
“Perbandingan bulan ke bulan, industri berorientasikan eksport merosot 3.1 peratus berbanding peningkatan 10.7 peratus pada Jun 2026,” maklum DOSM.
Menurut Jabatan Perangkaan, industri berorientasikan domestik meningkat 5.8 peratus pada Julai 2026, diikuti kenaikan 6.4 peratus pada Jun 2026, disokong terutamanya peningkatan dalam pembuatan logam asas dan pembuatan produk prosesan makanan, yang masing-masing meningkat 10.1 peratus dan 7.2 peratus.
Industri berorientasikan domestik mencatatkan peningkatan kecil 0.4 peratus berbanding 1.2 peratus yang dicatatkan pada Jun 2026.
Menerusi satu kenyataan berasingan, DOSM memaklumkan nilai jualan sektor Pembuatan pada Julai 2026 meningkat 9.1 peratus tahun ke tahun kepada RM177.3 bilion dipacu terutamanya oleh subsektor peralatan elektrik & elektronik yang mencatatkan peningkatan kukuh sebanyak 17.8 peratus.
“Prestasi positif ini terus diperkukuh oleh subsektor produk makanan, minuman dan tembakau yang berkembang sebanyak 3.9 peratus berbanding 2.2 peratus pada Jun 2026, di samping peningkatan 3.6 peratus dalam subsektor produk petroleum, kimia, getah dan plastik.
“Bagi perbandingan bulan ke bulan, nilai jualan meningkat 0.2 peratus daripada RM177.0 bilion yang direkodkan pada Jun 2026,” maklum jabatan itu.
Menurut DOSM, industri berorientasikan eksport mencatatkan pertumbuhan nilai jualan sebanyak 9.9 peratus tahun ke tahun pada Julai 2026, sekali gus menyumbang 72.2 peratus daripada keseluruhan jumlah jualan.
Prestasi ini ditunjangi oleh peningkatan dalam industri pembuatan komputer, produk elektronik & optikal sebanyak 19.0 peratus, diikuti pembuatan jentera dan peralatan yang meningkat 17.8 peratus berbanding 9.9 peratus pada Jun 2026, manakala pembuatan kok dan produk petroleum bertapis berkembang sebanyak 3.3 peratus.
Nilai jualan industri berorientasikan eksport susut sebanyak 1.0 peratus berbanding bulan sebelumnya.
Sementara itu, pertumbuhan nilai jualan bagi industri berorientasikan domestik menyederhana sedikit kepada 7.2 peratus tahun ke tahun pada Julai 2026, dipacu terutamanya oleh industri pembuatan logam asas pada 14.9 peratus, produk pemprosesan makanan pada 9.6 peratus serta pembuatan kenderaan bermotor, treler & semi treler pada 5.0 peratus.
Bilangan pekerja dalam sektor Pembuatan direkodkan seramai 2.4 juta orang pada Julai 2026, meningkat 1.1 peratus tahun ke tahun manakala gaji dan upah meningkat 2.8 peratus kepada RM8.55 billion. Purata gaji dan upah bagi setiap pekerja berada pada RM3,527, meningkat sebanyak 1.7 peratus.
Bagi tempoh tujuh bulan pertama 2026, jualan pembuatan kumulatif mencecah RM1.20 trilion, meningkat 7.6 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2025.
-- BERNAMA