Skip to main content

Dunia

Scotland larang penjualan produk nikotin kepada golongan bawah 18 tahun

Pembelian kantung nikotin, jalur nikotin dan bebola nikotin, serta sebarang produk herba yang boleh dihisap oleh individu bawah 18 tahun, sebagai satu kesalahan di sisi undang-undang. - Gambar fail
Pembelian kantung nikotin, jalur nikotin dan bebola nikotin, serta sebarang produk herba yang boleh dihisap oleh individu bawah 18 tahun, sebagai satu kesalahan di sisi undang-undang. - Gambar fail

Advertisement

EDINBURGH: Undang-undang lebih ketat bagi melindungi kanak-kanak dan golongan muda daripada merokok mula berkuat kuasa di Scotland, dengan larangan terhadap individu bawah 18 tahun daripada membeli semua produk nikotin dan produk herba untuk dihisap, lapor PA Media/dpa.

Peraturan baharu itu menjadikan pembelian kantung nikotin, jalur nikotin dan bebola nikotin, serta sebarang produk herba yang boleh dihisap oleh individu bawah 18 tahun, sebagai satu kesalahan di sisi undang-undang.

Peraturan itu turut mewajibkan semua peruncit yang menjual produk nikotin dan produk herba untuk dihisap mempunyai pendaftaran yang sah selewat-lewatnya pada 29 April tahun depan. Menurut Kerajaan Scotland, langkah itu menjadikan Scotland satu-satunya wilayah di United Kingdom (UK) yang mempunyai daftar lokasi penjualan produk berkenaan.

Larangan itu, yang merupakan sebahagian daripada Akta Tembakau dan Vape 2026, turut melarang penjualan produk berkenaan melalui mesin layan diri serta mengenakan larangan terhadap pemberian diskaun besar bagi produk nikotin.

Menteri Kesihatan Awam Scotland, Maree Todd berkata: “Kami mahu melindungi generasi akan datang daripada ketagihan nikotin dan kami mengetahui bahawa produk nikotin, khususnya uncang nikotin, semakin popular dalam kalangan golongan muda.

“Dengan melarang penjualan produk ini kepada individu bawah 18 tahun, Kerajaan Scotland mengambil langkah penting dalam melindungi kesihatan masyarakat.

“Langkah ini sekali gus membantu penduduk di seluruh Scotland menjalani kehidupan yang lebih panjang dan sihat.

“Mewajibkan peruncit tembakau dan vape mendaftarkan perniagaan mereka untuk menjual produk nikotin dan produk herba untuk dihisap juga akan menyediakan asas yang kukuh bagi memastikan pengawalseliaan dan penguatkuasaan penjualan produk ini di Scotland dilaksanakan dengan berkesan.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua peruncit yang mendaftar dan mengingatkan pihak lain agar berbuat demikian sebelum tarikh akhir pada April depan.”

Ketua Pegawai Perubatan Scotland, Gregor Smith berkata: “Nikotin ialah bahan yang menyebabkan ketagihan melampau dan boleh mengakibatkan kebergantungan serta gejala ketagihan, termasuk kemurungan, kesukaran menumpukan perhatian dan insomnia.

“Walaupun vape mungkin berperanan membantu individu yang ketagih berhenti merokok, pada pandangan saya, mereka yang tidak merokok sama sekali tidak sepatutnya mula menggunakan produk nikotin, khususnya kanak-kanak dan golongan muda.

“Saya mengalu-alukan sekatan baharu terhadap penjualan produk nikotin dan produk herba untuk dihisap berdasarkan had umur ini, yang akan membantu mengurangkan kemudaratan kesihatan akibat ketagihan nikotin serta menangani ketidaksamarataan kesihatan di Scotland.”

Ketua Eksekutif Action on Smoking and Health Scotland, Sheila Duffy berkata: “ASH Scotland mengalu-alukan langkah ini, yang dimungkinkan menerusi Akta Tembakau dan Vape, sebagai usaha penting untuk menutup kelompongan undang-undang serta menghalang industri tembakau dan nikotin daripada terus meraih keuntungan besar dengan menjejaskan kesihatan kanak-kanak.

“Pengambilan nikotin boleh memberikan kesan buruk terhadap golongan muda dengan menjejaskan sistem kardiovaskular, perkembangan otak dan kesihatan mental mereka. Oleh itu, usaha mencegah penjualan uncang nikotin kepada kanak-kanak serta menghentikan promosi pemberian sampel vape secara percuma merupakan langkah penting untuk menangani ketagihan nikotin dalam kalangan golongan muda.”

-- BERNAMA-PA MEDIA/dpa

Must Watch Video

Advertisement