JOHOR BAHRU: Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) menetapkan sasaran pelaburan kumulatif baharu bagi Iskandar Malaysia sebanyak RM636 bilion menjelang 2030, selepas sasaran awal yang ditetapkan semasa penubuhan wilayah ekonomi itu berjaya dicapai dengan jayanya.

Ketua Eksekutifnya, Datuk Dr Badrul Hisham Kassim, berkata sejak penubuhan Iskandar Malaysia pada 2006 hingga September tahun lepas, wilayah itu merekodkan jumlah pelaburan terkumpul sebanyak RM409.5 bilion, melebihi sasaran awal RM383 bilion yang disasarkan IRDA berdasarkan Pelan Pembangunan Komprehensif (CDP) 2006 hingga 2025.

Beliau berkata, sasaran RM383 bilion, yang direkodkan pada Februari tahun lepas, dicapai hampir tiga tahun lebih awal daripada sasaran tempoh 19 tahun, sekali gus menunjukkan bahawa penawaran pelbagai kelebihan daya saing Iskandar Malaysia dan Malaysia, terus menarik minat pelabur dan meningkatkan keyakinan terhadap negara.

"Ini memberikan keyakinan kepada kami untuk menggandakan sasaran pelaburan kumulatif kami menjelang 2030 yang kami tetapkan dalam CDPiii terkini Iskandar Malaysia 2022-2030.

"Pada penghujung tujuh tahun akan datang, kami menyasar mencapai RM636 bilion pelaburan terkumpul dan kami percaya ini boleh dicapai, terutamanya dengan sokongan penuh kerajaan melalui Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura dan inisiatif Zon Kewangan Khas seperti yang diumumkan oleh kerajaan baru-baru ini," katanya dalam satu kenyataan, di sini, pada Isnin.

Badrul Hisham berkata kedua-dua zon ekonomi dan kewangan khas itu akan memainkan peranan besar kepada Iskandar Malaysia pada masa depan.

Beliau berkata Iskandar Malaysia merekodkan pelaburan yang dijanjikan sebanyak RM33.6 bilion dari Januari hingga September tahun lepas dengan RM11 bilion telah direalisasikan.

"Sumbangan utama adalah daripada sektor perkhidmatan perniagaan yang termasuk pelaburan dalam pusat data serantau berjumlah RM22.4 bilion dan sektor pembuatan sebanyak RM7.7 bilion," katanya.

Selain itu, beliau berkata, IRDA juga mengunjurkan kira-kira 400,000 peluang pekerjaan baharu dicipta di Iskandar Malaysia antara 2020 dan 2030, membawa kepada jumlah pekerjaan hampir 1.4 juta menjelang 2030.

-- BERNAMA