KUALA LUMPUR: Ireka Corporation Bhd telah diklasifikasikan sebagai syarikat Nota Amalan 17 (PN17) selepas Bursa Malaysia Securities Bhd menolak permohonan lanjutan tempoh pelepasannya.

Menurut makluman kumpulan itu pada 1 Sept, 2021, tempoh pelepasan tamat pada 26 Feb, 2022.

Dalam makluman bursa pada Selasa, Ireka berkata syarikat telah mencetuskan kriteria yang ditetapkan dan merupakan penerbit PN17, berkuat kuasa mulai 28 Feb, 2022.

"Kriteria yang ditetapkan PN17 dicetuskan oleh ekuiti pemegang saham syarikat pada asas disatukan (menjadi) 50 peratus atau kurang daripada modal sahamnya berdasarkan laporan suku tahun terkini bagi tempoh kewangan berakhir 31 Dis, 2021," katanya.

Dalam makluman berasingan, syarikat kejuruteraan pembinaan itu berkata syarikat sedang mengkaji untuk merangka pelan bagi menyusun semula keadaan kewangannya dan pengumuman mengenainya akan dibuat dalam masa terdekat.

Ireka mengumumkan pada 27 Ogos, 2020, bahawa ia telah mencetuskan kriteria yang ditetapkan PN17 selepas juruaudit luarnya membangkitkan kebimbangan mengenai ketidakpastian material berkaitan kebimbangan berterusan berhubung penyata kewangan terauditnya untuk tahun kewangan berakhir 31 Mac, 2021, berikutan ekuiti pemegang sahamnya pada asas disatukan kurang daripada 50 peratus daripada modal sahamnya (42.67 peratus).

-- BERNAMA