MEKAH: Pergerakan lebih 31,000 jemaah haji Malaysia ke Arafah dijangka selesai sepenuhnya hari ini, dengan operasi bermula seawal jam 7.30 pagi waktu tempatan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Hasan berkata, setakat ini proses pergerakan jemaah berjalan lancar dan teratur hasil penyelarasan rapi pihak Tabung Haji (TH) serta kerjasama jemaah.
“Alhamdulillah, pergerakan jemaah kita ke Arafah pagi ini berjalan dengan baik dan lancar," katanya kepada media selepas bersama-sama jemaah kumpulan pertama yang bergerak ke Arafah di Abraj Al Tyseer.
Menurut beliau, kesemua jemaah akan berada di Arafah bagi melaksanakan wukuf esok, yang merupakan rukun paling penting dalam ibadah haji.
Dr Zulkifli turut menasihatkan jemaah Malaysia supaya memberi tumpuan sepenuhnya kepada ibadah, selain menjaga kesihatan terutama dalam keadaan cuaca panas ketika ini.
“Jemaah dinasihatkan supaya mengelakkan keluar pada waktu tengah hari bagi mengurangkan risiko terdedah kepada cuaca panas melampau. Utamakan ibadah dan sentiasa patuhi nasihat serta bimbingan petugas haji,” ujar beliau.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan akan menyampaikan khutbah Arafah esok.
Pergerakan tersusun yang dilaksanakan tahun ini sekali lagi membuktikan kecekapan pengurusan haji Malaysia dalam memastikan kebajikan serta keselamatan jemaah sentiasa menjadi keutamaan.
Sementara itu, pada Ahad seramai 353 petugas Tabung Haji telah mula ke Arafah dan Mina bagi memulakan operasi masyair.
Mereka terdiri daripada pasukan rombongan kebajikan dan Rombongan Perubatan bagi membuka bilik sebelum Hari Wukuf yang jatuh pada Selasa.