Skip to main content

Malaysia

11 lelaki didakwa jadi ahli kumpulan jenayah terancang Geng RT6

SINAR HARIAN
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang "Geng RT6" di daerah Sentul antara 14 Jan 2020 hingga 27 April 2026. -Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Sebanyak 11 lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang dikenali sebagai "Geng RT6" dari 2020.

A. Raja Ratanam, K. Sunthreson, C. Vijaya Kumar, N. Nadarajah, T. Raman, R. Vijayan, M. Kumaaran, N. Harichandran, S. Maran, Suwaran Singh Minder Singh dan Mohammad Atif Khan Mohammad Ali Khan yang berusia 22 hingga 48 tahun mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi.

Tiada pengakuan direkodkan daripada mereka kerana kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang "Geng RT6" di daerah Sentul antara 14 Jan 2020 hingga 27 April 2026.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Mahkamah tidak membenarkan jaminan terhadap mereka dan menetapkan 24 Jun untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lokman Kasim dan Yazid Mustaqim Roslan.

Pada prosiding itu, barisan pembelaan dibarisi peguam Datuk Rajpal Singh, Eu Kah Mun, M. Mathaven, Grace Francis, Muhammad Izzhar Idris, S. Kirthen, S. Premila dan Kelvin Francis.

Hanya Nadarajah dan Raman tidak diwakili peguam.

Semalam, media melaporkan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah dikenali sebagai Geng RT menerusi tindakan di bawah Akta Langkah-Langkah Keselamatan Khas 2012.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Datuk Hussein Omar Khan berkata sindiket itu dipercayai aktif dalam kegiatan pemprosesan dan pengedaran dadah serta jenayah kekerasan di sekitar Lembah Klang sejak 2020.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement